Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Virus Nipah: Saringan pengembara berisiko langkah proaktif cegah penularan
  • KESIHATAN

Virus Nipah: Saringan pengembara berisiko langkah proaktif cegah penularan

Utusan Sarawak 7 hours ago
MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewam Bahasa dan Pustaka hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan saringan kesihatan bersasar ke atas pengembara dari negara berisiko tinggi di semua pintu masuk antarabangsa adalah langkah pencegahan bagi mengelak penularan virus Nipah di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata biarpun langkah itu tidak disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pendekatan proaktif yang diambil kerajaan itu penting bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan keyakinan terhadap sistem kesihatan negara berada pada tahap optimum.

“Kementerian mengambil pendekatan proaktif dan pre-emptive biarpun WHO tidak memberikan penegasan tentang keperluan penggunaan pengimbas suhu dan sebagainya. Saringan ini antara langkah berjaga-jaga untuk mencegah serta mengesan lebih awal sebarang kemungkinan jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat kebangsaan 2026 di sini hari ini, sebagai mengulas kenyataan WHO yang tidak mengesyorkan saringan di lapangan terbang pada masa ini dan menilai risiko penularan virus dari India sebagai rendah.

Dzulkefly berkata sistem kesihatan negara berada pada tahap bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berkaitan ancaman penyakit berjangkit itu.

“Dalam konteks kawalan penyakit berjangkit, langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan atas prinsip kawalan berlapis merangkumi pengurusan berterusan, pengesanan awal, pengurusan kontak, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan dan komunikasi risiko berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas isu sebuah premis makanan di Negeri Sembilan yang didakwa mencuci lebihan makanan untuk dimasak dan dijual semula, beliau berkata KKM memberi amaran tegas kepada pengusaha agar bertanggungjawab dan tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

Beliau berkata kementerian tidak akan berkompromi apabila berdepan amalan yang mendedahkan orang ramai kepada risiko serius termasuk keracunan makanan dan tindakan penguakuatkuasaan akan diambil secara tegas termasuk mengeluarkan kompaun dan penalti terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.

“Saya ingin mengingatkan semua pengusaha supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan. Kita telah berkali-kali mengeluarkan peringatan sebelum ini.

“Kali ini, tindakan tegas, kukuh dan muktamad akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhinya kerana perbuatan sebegini secara langsung menjejaskan kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dzulkefly berkata kementerian sejak sekian lama menitikberatkan aspek kualiti dan keselamatan makanan melalui pelbagai inisiatif termasuk program Bersih, Sihat dan Selamat (BeSS) selain usaha penguatkuasaan berterusan.

“Walaupun pelbagai pendekatan telah dilaksanakan termasuk penguatkuasaan, masih ada segelintir pihak yang mencemarkan industri dari semasa ke semasa, sedangkan ramai pengusaha lain mematuhi peraturan dengan sangat ketat dan memandang serius soal keselamatan makanan. Ini amat mendukacitakan,” katanya.

Terdahulu dilaporkan restoran di Seremban itu telah diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) selama 14 hari bermula semalam.- Bernama

Continue Reading

Previous: Dasar penyakit jarang jumpa perkemas tadbir urus, akses rawatan – Dzulkefly

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.