Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • PM Anwar nafi dakwaan Malaysia serah tanah kepada Indonesia
  • NASIONAL

PM Anwar nafi dakwaan Malaysia serah tanah kepada Indonesia

Utusan Sarawak 7 hours ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Sesi Penerangan Khas mengenai isu jajaran sempadan Malaysia–Indonesia di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan adalah tidak benar dan berunsur penipuan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, beliau meminta semua pihak supaya berhati-hati dan berhemah dalam mengeluarkan kenyataan serta tidak menjadikan isu berkenaan sebagai bahan politik sempit sehingga boleh menjejaskan kepentingan Malaysia dan hubungan baik dua hala antara kedua-dua negara.

Anwar berkata kerajaan tidak dapat menerima kenyataan sesetengah pihak yang disifatkan menghina usaha negara termasuk pengorbanan pegawai yang terlibat dalam melaksanakan tugasan lapangan bagi menyelesaikan isu persempadanan dengan negara jiran berkenaan.

“Kita harus menggunakan kesempatan ini juga untuk mengucapkan penghargaan setinggi-tingginya kepada pegawai-pegawai di bahagian hal ehwal persempadanan, topografi, Jabatan Peguam Negara, pemetaan serta anggota tentera yang terpaksa meredah hutan belantara bagi memastikan peta itu dapat dimuktamadkan.

“Jadi saya harap, walaupun pembangkang memilih untuk tidak menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai terlibat…tidak perlulah mengeluarkan kenyataan biadab dan menghina. Jika tidak tahu (mengenai sesuatu isu) bertanyalah dan jangan maki hamun,” katanya pada Sesi Penerangan Khas mengenai isu jajaran sempadan Malaysia-Indonesia di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata berdasarkan rekod seawal 1915, kawasan seluas 5,207 hektar itu tidak pernah disahkan sebagai milik Malaysia dan tidak pernah dituntut sebagai wilayah negara.

“Pendirian kerajaan adalah jelas bahawa segala penentuan sempadan hendaklah berasaskan perjanjian dan konvensyen yang sah. Malaysia juga amat menghormati kesepakatan bersama antara Malaysia dan Indonesia dalam menentukan sempadan darat antara kedua-dua negara,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan rundingan persempadanan Malaysia-Indonesia masih berjalan dan melibatkan beberapa perkara sensitif yang belum dimuktamadkan, antaranya isu lima kawasan sempadan darat, kawasan intertidal di sektor Sabah-Kalimantan Utara serta empat kawasan Masalah Sempadan Tertangguh (OBP) di sektor Sarawak-Kalimantan Barat.

Beliau berkata proses rundingan dan pengukuran sempadan itu telah berjalan selama 47 tahun sejak 1977 dan diselesaikan berperingkat, namun kerajaan berpandangan proses berkenaan harus disegerakan untuk menjaga hubungan baik antara kedua-dua negara berdasarkan perjanjian dan konvensyen antarabangsa.

“Dalam semua rundingan melibatkan Sabah dan Sarawak, wakil Kerajaan Negeri Sabah, termasuk Pejabat Ketua Menteri, Pejabat Peguam Negeri Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta agensi berkaitan, telah dilibatkan sepenuhnya. Setiap inci tanah dirunding dan dipersetujui sebelum dimuktamadkan di peringkat kerajaan dengan kerajaan Indonesia,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menolak dakwaan bahawa kerajaan telah menyerahkan kawasan Ambalat, sambil menegaskan perkara itu belum dimuktamadkan dan menyifatkan tuduhan berkenaan dibuat tanpa merujuk fakta serta data yang tepat.

Beliau turut membidas kenyataan yang menuduhnya khianat kepada negara dan menegaskan perkara itu perlu diperbetulkan.

“Hal-hal yang menyentuh kepentingan negara termasuk sempadan haruslah dibincang dengan cara berhemah. Saya tidak ada masalah (dengan) mana-mana ahli pembangkang untuk bertanya, tetapi saya bantah keras tuduhan dan fitnah menyatakan kita khianat kepada negara.

“Jadi sebaiknya kerana saya telah bentangkan dengan fakta dan peta, teliti semula… ada bahagian yang belum dimuktamadkan dan ada yang sudah,” katanya.

Mengulas mengenai hubungan dua hala, Perdana Menteri berkata Malaysia dan Indonesia telah mengekalkan kerjasama baik dalam isu persempadanan sejak sekian lama.

“Kita kena jaga hubungan kita dengan Indonesia sejak 1974 itu sangat baik. Kita boleh berbeza pendapat, tapi jangan menjatuhkan hukuman dan jangan juga menyinggung perasaan rakan-rakan kita di Indonesia yang berusaha menjadikan hubungan antara kedua-dua negara sangat baik dan akrab,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: PM Anwar: Penentuan sempadan Malaysia-Indonesia bukan soal pampasan atau untung rugi
Next: Sultan Selangor terima menghadap Dr Malik, pertemuan sarat emosi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.