
BINTULU: Amalan disiplin keselamatan di peringkat isi rumah perlu diperkukuh bagi mengurangkan risiko kebakaran yang masih mencatatkan jumlah panggilan kecemasan tinggi di Sarawak.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Jamri Masran berkata, sikap sambil lewa terhadap aspek keselamatan masih menjadi antara punca utama berlakunya kebakaran di kawasan kediaman.
Menurut beliau, kebanyakan insiden berpunca daripada masalah pendawaian elektrik, penggunaan peralatan yang rosak serta pengendalian dapur gas yang tidak selamat.
Katanya, rekod rasmi menunjukkan sebanyak 2,090 panggilan kebakaran direkodkan pada 2023, meningkat kepada 2,179 kes pada 2024 sebelum menurun sedikit kepada 2,106 kes pada 2025.
“Walaupun berlaku penurunan, jumlah ini masih membimbangkan dan memerlukan perubahan sikap dalam kalangan masyarakat.
“Keselamatan bermula dari rumah dan bergantung kepada tahap disiplin setiap individu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Komuniti, Prihatin, Kediaman Selamat Bersama Bomba Sarawak Tahun 2026 Peringkat Zon Bintulu di Kompleks Beli-Belah Boulevard di sini, semalam.
Jamri berkata, pemeriksaan berkala terhadap sistem pendawaian dan peralatan elektrik perlu dijadikan amalan bagi mengelakkan risiko litar pintas dan kebakaran.
Menurutnya, penggunaan dapur gas yang selamat serta pemantauan ketika memasak juga penting bagi mencegah kejadian tidak diingini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan Pasukan Bomba Komuniti sebagai sokongan awal dalam membantu penduduk bertindak pantas sebelum ketibaan pasukan bomba.

Katanya, sebanyak 48 pasukan ditubuhkan pada 2023, meningkat kepada 58 pasukan pada 2024 dan melonjak kepada 101 pasukan pada 2025.
“Dari segi keahlian pula, seramai 826 ahli direkodkan pada 2023, meningkat kepada 1,188 orang pada 2024 dan seterusnya 1,104 orang pada 2025.
“Di Bintulu, sebanyak 13 Pasukan Bomba Komuniti dengan keahlian seramai 108 orang telah ditubuhkan bagi membantu memperkukuh keselamatan setempat,” ujar beliau.
Jamri berkata, anggota pasukan berkenaan diberikan latihan asas pemadaman kebakaran, penggunaan alat pemadam api serta pengurusan kecemasan, sekali gus diyakini mampu membentuk komuniti yang lebih berdisiplin dan peka terhadap aspek keselamatan.
Ujarnya lagi, usaha pencegahan kebakaran memerlukan komitmen bersama antara pihak bomba, agensi berkaitan dan masyarakat bagi memastikan persekitaran kediaman sentiasa selamat.
Oleh Carolyne Utih