Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Api politik di Sibu: Politik komuniti, kuasa dan ujian kesepaduan GPS
  • KOLUMNIS

Api politik di Sibu: Politik komuniti, kuasa dan ujian kesepaduan GPS

Utusan Sarawak 7 hours ago

PERTIKAIAN terbuka antara Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Sri Tiong King Sing dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berhubung pelantikan ketua komuniti dan ketua rumah panjang di Sibu bukan sekadar episod pertengkaran peribadi.

Situasi ini menyingkap lapisan lebih dalam tentang politik kuasa, sempadan pengaruh parti komponen serta keupayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan disiplin dalaman menjelang pilihan raya negeri yang kian hampir.

Bara politik bermula

Isu ini meletus apabila Tiong menuduh Dr Sim mencampuri proses pelantikan yang dikatakan telah dimuktamadkan oleh jawatankuasa pemilihan secara konsensus.

Lebih membimbangkan, dakwa Tiong, wakil rakyat PDP di Dudong dan Bawang Assan tidak dirundingi, malah berlaku pembatalan atau pindaan pelantikan secara sepihak.

PRESIDEN PDP, Dato Sri Tiong King Sing.

Nada kenyataan Tiong keras dan beremosi apabila beliau menyentuh garis merah, memberi amaran agar ‘berhenti bermain api’, dan mempersoalkan kesan tindakan tersebut terhadap sentimen komuniti rumah panjang yang boleh beralih menjauhi GPS.

Daripada perspektif PDP, teras hujahnya bertumpu pada prinsip keadilan perwakilan dan autonomi kawasan. Sebagai ADUN Dudong dan melalui rakan seperjuangan di Bawang Assan, PDP melihat pelantikan ketua komuniti sebagai proses yang mesti menghormati rundingan setempat serta persetujuan awal.

Tindakan mengubah pelantikan tanpa rundingan dianggap melanggar semangat kepimpinan kolektif GPS. Tambahan pula, latar belakang ketegangan pasca kemasukan bekas ADUN Parti Sarawak Bersatu (PSB) ke dalam PDP yang secara tradisi mengganggu ‘peta kerusi’ SUPP menjadikan isu pelantikan ini ditafsir PDP sebagai kesinambungan perebutan pengaruh di Sibu.

Institusi lawan politik

Tiong juga mengangkat persoalan di antara institusi dan politik. Apabila pelantikan komuniti disifatkan sebagai ‘keputusan pentadbiran’, PDP menuntut kejelasan: adakah ia benar-benar keputusan berasaskan prosedur, atau topeng kepada percaturan politik?

Dakwaan wujud ugutan terhadap ketua rumah panjang untuk hadir ke majlis penyerahan sijil anjuran SUPP jika benar akan menambahkan persepsi penyalahgunaan kuasa. Dalam bingkai ini, PDP cuba memposisikan dirinya sebagai pembela integriti proses dan suara akar umbi.

Perspektif SUPP

Namun, SUPP tampil dengan naratif tandingan yang tidak kurang tegas. Dari sudut SUPP, pelantikan ketua komuniti (KMKK) di Sibu mematuhi kuota yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kabinet Negeri, dan setiap parti komponen menerima peruntukan sewajarnya.

PRESIDEN SUPP, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Serangan terbuka Tiong, menurut SUPP, bukan sahaja emosional tetapi mencabar kewibawaan keputusan kolektif Kabinet dan didakwa sebagai suatu pelanggaran disiplin gabungan.

SUPP menegaskan Dudong ialah kerusi tradisi mereka sejak 1987; kemenangan PDP di situ pada PRN lalu berlaku dalam keadaan luar biasa apabila calon SUPP digugurkan di saat akhir, menyebabkan PDP menjadi ‘terjun payung’ mewakili GPS.

Lebih tajam, SUPP membalas dengan tuduhan standard berganda iaitu kononnya selepas memenangi Dudong, PDP melakukan penggantian sistematik ketua komuniti yang disyorkan SUPP, malah ada yang dipujuk atau diugut untuk meninggalkan SUPP dengan janji pelantikan.

Sekiranya dakwaan ini benar, SUPP berhujah, apakah bezanya amalan tersebut dengan apa yang dituduh PDP terhadap Dr Sim? SUPP turut mempersoalkan rekod kehadiran Tiong di Dewan Undangan Negeri serta prestasi pembangunan setempat tidak lebih sebagai satu strategi untuk mengalihkan wacana daripada emosi kepada akauntabiliti.

LOGO SUPP.

Persoalan garis pemisah

Di sinilah inti persoalan, apakah garis pemisah antara pentadbiran dan politik dalam pelantikan komuniti? Dalam konteks Sarawak, ketua komuniti dan ketua rumah panjang bukan sekadar simbol, mereka menjadi penghubung dasar, saluran kebajikan, dan penentu sokongan politik.

Maka, perebutan pengaruh ke atas pelantikan ini mudah menghangat apabila peta kuasa berubah.

PDP menuntut penghormatan kepada rundingan kawasan, SUPP menuntut ketaatan kepada keputusan Kabinet dan tradisi kerusi. Kedua-duanya mengaku memperjuangkan ‘semangat GPS’, namun menafsirkannya dari sudut berbeza.

Penilaian objektif menuntut kita mengakui kelemahan di kedua-dua pihak. Dari sisi PDP, bahasa amaran terbuka walaupun mungkin lahir daripada rasa terancam ia akan memebrikan risiko dan mencederakan imej GPS sebagai gabungan yang stabil dan matang.

Retorik ‘jika tidak dialu-alukan, ada tempat lain’ membuka spekulasi yang tidak perlu tentang kesetiaan gabungan, apatah lagi menjelang PRN. Disiplin dalaman lazimnya lebih berkesan daripada ‘perang kenyataan’.

LOGO PDP

Sebaliknya, dari sisi SUPP, kebergantungan semata-mata pada hujah kuota Kabinet tanpa memperincikan mekanisme rundingan tempatan mengundang persepsi elitis sifatnya.

Dalam masyarakat rumah panjang, rasa dihormati dan dirunding seringkali lebih penting daripada kesahihan prosedur.

Jika benar berlaku penganjuran majlis kedua yang mencetuskan rasa dipinggirkan PDP, langkah itu walaupun sah dari sudut kuota ia tetap memerlukan kepekaan politik.

Lebih besar daripada pertikaian ini ialah ujian kepimpinan GPS. Gabungan yang berjaya selama ini kerana keupayaan menyelesaikan konflik secara tertutup, kini diuji oleh tekanan persaingan dalaman, kemasukan bekas PSB ke PDP, dan jam detik pilihan raya.

Jika isu pelantikan komuniti tidak ditangani dengan garis panduan jelas mengenai aspek ‘siapa berunding, siapa memutus, bagaimana merayu’ maka ia akan menjadi preseden, iaitu contoh atau peristiwa terdahulu yang dijadikan rujukan dan boleh mempengaruhi keputusan atau tindakan pada masa hadapan dan ini amat berbahaya yang menghakis kepercayaan antara rakan gabungan.

Rumusan

Bergerak ke hadapan, beberapa langkah wajar dipertimbangkan.

Pertama, GPS perlu memformalkan SOP pelantikan komuniti yang mengikat semua parti, rundingan wajib ADUN setempat, pematuhan kuota, dan mekanisme rayuan yang telus.

Kedua, kepimpinan tertinggi GPS mesti menjadi pendamai, bukan pemerhati, dengan memanggil kedua-dua pihak ke meja rundingan tertutup dan menetapkan garis merah komunikasi awam.

Ketiga, semua pihak perlu menurunkan suhu kepanasan dan menggantikan retorik ancaman dengan santunan dan diplomasi institusi.

Akhirnya, pengundi Sibu dan komuniti rumah panjang tidak menilai siapa paling lantang, tetapi siapa paling menyantuni dan menyelesaikan masalah.

Jika PDP benar mempertahankan suara akar umbi, ia perlu membuktikannya melalui kerja pembangunan dan perkhidmatan.

Jika SUPP benar menjunjung keputusan kolektif, ia perlu memastikan prosedur tidak mematikan rasa hormat setempat.

Api politik di Sibu boleh menjadi peringatan yang menguatkan GP atau menjadi bara yang membakar kepercayaan. Pilihannya terletak pada kebijaksanaan memimpin, bukan sekadar berdebat.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau  ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan kini ialah Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Kisah tiga Pengiran dari Brunei

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.