Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Cerpen: Mesyuarat Ini Akan Diteruskan
  • WBS

Cerpen: Mesyuarat Ini Akan Diteruskan

Utusan Sarawak 5 hours ago

SEORANG lelaki tanpa nama dijemput menghadiri mesyuarat di sebuah bilik yang tiada pintu. Dia tidak ingat bagaimana dia masuk. Meja bulat di tengahnya dipenuhi sembilan orang. Semuanya wajah mereka sama seperti dia, tetapi umurnya berbeza.

Seorang “aku” yang berambut kerinting berkata, “Kita di sini untuk mengundi masa depan kita.”

Seorang “aku” pada pertengahan umurnya menjawab, “Masa depan siapa?”

Tiada jawapan.

Setiap versi dirinya membawa satu fail. Fail pertama berisi surat lama yang tak pernah dihantar. Fail kedua penuh cek hutang lama. Fail ketiga mengandungi lukisan banglo impian yang tak pernah dibina. Yang lain membawa dokumen-dokumen yang dia tak pernah sedar wujud. Akhirnya, fail kosong diletakkan di depannya.

“Ini bahagian kau,” kata mereka serentak.

Dia membuka fail itu. Fail itu kosong, putih, tiada satu huruf pun.

“Kenapa kosong?” dia bertanya.

Orang-orang itu tersenyum. Satu demi satu mereka hilang, meninggalkan cermin besar di tengah bilik. Dia melangkah ke arah cermin itu dan melihat wajahnya sendiri… tetapi dia terkejut melihat matanya tiada.

Satu suara bergema dari entah mana:

“Sekarang, kau pilih: mahu isi fail itu, atau biarkan ia tetap kosong.”

Dia cuba menjawab, tapi mulutnya sudah hilang. Dia berdiri di hadapan cermin itu lama, walaupun tiada mata untuk melihat. Anehnya, dia tetap “melihat”, bukan dengan mata, tetapi dengan sesuatu yang lain, mungkin kesedaran yang menembusi bentuk fizikal.

Pada pantulan itu, cermin mula retak. Setiap retakan menunjukkan pelbagai dunia berbeza:

  • Dalam retakan pertama, dia menjadi seorang doktor yang menemui penawar penyakit, tetapi hidup sebatang kara.
  • Dalam retakan kedua, dia menjadi ahli perniagaan yang tersangat kaya, tetapi mati pada awal usianya.
  • Dalam retakan lain lagi, dia hanyalah seorang petani biasa, tetapi hatinya senang dan ketawa setiap hari.

Semua itu terasa seperti pilihan yang pernah ditawarkan kepadanya tetapi dia seakan-akan tak pernah sedar. Tiba-tiba, suara yang sama bergema lagi:

“Tiada satu pun dunia ini betul atau salah. Namun begitu, kau hanya boleh membawa satu. Cuba kau pilih?”

Dia cuba menunjuk, tapi tangannya kabur. Cermin bergetaran, retakan bercantuman semula. Suara itu berkata: “Begini. Dunia tidak dibentuk oleh pilihan besar. Akan tetapi dunia dibentuk oleh perkara yang kau tak pernah fikir akan penting.”

Sekelip mata, dia teringat detik kecil yang pernah diabaikannya dahulu. Teringat, gadis tersenyum dengannya di stesen bas, mempelawanya minum kopi, tetapi ditolak mentah-mentah dan kata maaf yang tak pernah diucapkannya. Semua itu, kecil tapi membentuk jalan hidupnya.

Cermin itu tiba-tiba runtuh menjadi debu, meninggalkan fail kosong di lantai. Dia memegangnya semula.  Untuk pertama kali, pen muncul di tangannya sendiri. Dia mula menulis.

Menulis bukan untuk peristiwa penting, tetapi detik-detik kecil yang pernah diabaikannya dulu. Setiap kali dia menulis, sesuatu kembali kepadanya: pada mulanya matanya dan kemudian mulutnya.

Dia sedar: mungkin inilah maksudnya menjadi “manusia”. Manusia bukan memilih untuk jalan sempurna, tetapi sedar bahawa setiap langkah kecil adalah pilihan yang mencipta dunia.

Fail itu penuh dan pintu yang tidak pernah wujud akhirnya muncul. Dia melangkah keluar melalui pintu itu. Cahaya putih menyilaukan mata, membuatnya terpaksa memejamkan kelopak matanya yang baru muncul semula.

Apabila penglihatannya pulih, dia mendapati dirinya berada di sebuah hospital. Tubuhnya terbaring di atas katil, disambung pada mesin dan dikelilingi oleh beberapa orang.

Berdirinya seorang wanita yang matanya sembap kerana menangis semalaman, seorang lelaki beruban yang memegang kitab dan seorang kanak-kanak lelaki yang memegang sebatang pen patah. Dia sedar sudah… . Keluarganya ada di sana. Anehnya, mereka langsung tidak melihatnya, seolah-olah dia tidak wujud.

Wanita itu berbisik kepada doktor, “Kalau dia tak sedar malam ini… kami akan mencabut mesin ini.”

Lelaki itu menggenggam tangan jasadnya yang terbaring. “Dia selalu kata hidup ini adalah pilihan kecil. Tapi dia tidak sempat membuat pilihan terakhir.”

Tiba-tiba, kanak-kanak itu membuka buku nota lusuh di pangkuannya. Buku itu  di dalam fail kosong itu. Tetapi sekarang, setiap helaian pada buku itu dipenuhi tulisan yang dia sendiri baru ingat sahaja ditulis pada “bilik mesyuarat” tadi.

Dia cuba menjerit. Dia ingin memberitahu mereka bahawa dia ada di sini. Tetapi suaranya bergema semula, bukan pada telinga mereka, tetapi di dalam fikirannya sendiri: “Ini bukan dunia sebenar. Atau… ini dunia sebenar, tetapi kau di alam yang lain.”

Cahaya putih mula menelan segala-galanya. Pada saat-saat terakhir sebelum segalanya padam, dia nampak cermin retak itu kembali. Pada kali ini, retakannya membentuk wajahnya sendiri. Wajah itu tersenyum dan berkata: “Kita akan bermesyuarat lagi nanti.”

Gelap.

Rekod Audio Transkrip #001

                [Bunyi kerusi diseret laju]     

                SUARA A: Mesyuarat dimulakan. Subjek sedar?   

                SUARA B: Tidak sepenuhnya. Dia fikir ini adalah mimpi. 

                SUARA C: Bagus. Jika dia sedar, fail kosong akan terisi secara tidak terkawal.

Catatan Penyelidikan:

  • Subjek: Tanpa nama, Lelaki, Anggaran umur 32 hingga 36 tahun.
  • Status: Terperangkap pada “Ruang Keputusan” selama 5001 kitaran masa subjektif.
  • Objektif Eksperimen: Menguji sejauh mana “Kesedaran Pilihan” yang mempengaruhi kesinambungan realiti.
  •  

Rekod Audio Transkrip #002
                SUARA A: Dia sudah mula mengingati detik kecil hidupnya.
                SUARA D: Itu bukan masalah. Masalahnya… dia sedang menulisnya.
                SUARA B: Pada setiap tulisan itu, dunia di luar sudah mula berubah.

Nota Lapangan: Kejadian aneh dikesan di “Aras Bawah Hospital”:

  • Mesin bantuan hayat subjek berfungsi walaupun bekalan elektrik terputus selama lima minit.
  • Kanak-kanak lelaki yang memegang buku nota dilaporkan bercakap sendirian, menggunakan ayat yang sama seperti “Suara A” pada transkrip.

Rekod Audio Transkrip #003
                SUARA C: Dia akan sampai ke pintu itu.
                SUARA B: Biarkan.
                SUARA D: Jika dia keluar, kita perlu mesyuarat lagi.
                SUARA A: Itu tujuan kita, bukan?

Perkara yang Tidak Dijelaskan dalam Fail:

  1. Siapa sebenarnya tujuh versi dirinya? Adakah mereka hasil percabangan masa, atau entiti lain yang hanya menyamar sebagai dirinya?
  2. Kenapa fail kosong itu wujud pada setiap lapisan?
  3. Mengapa semua mesyuarat berakhir dengan frasa yang sama: “Kita akan mesyuarat lagi”?

Nota Rahsia (Ditemui di muka surat terakhir fail kosong):

Tiada siapa yang pernah keluar. Kau hanya bergerak dari satu meja ke meja lain. Hanya boleh menukar kerusi, menukar umur, menukar sejarah. Dan bila kau sedar semula, kau sudah menjadi pengerusi mesyuarat… itu bermakna mesyuarat baru akan bermula.

Lembaran terakhir fail kosong itu tiba-tiba muncul di hadapannya. Bukan di tangan watak, tetapi di tangan pembaca sendiri. Dakwatnya masih basah dan tulisan di muka surat pertama berbunyi: “Mesyuarat ini akan diteruskan. Pengerusi lama telah berundur. Anda kini adalah pengerusi.”

Di hadapan anda, perlahan-lahan terbentuk meja bulat, seolah-olah keluar daripada dinding bilik tempat anda membaca cerita ini. Kerusi-kerusi di sekelilingnya mula terisi, bukan oleh watak rekaan, tetapi oleh anda dalam versi berbeza:

  • Anda yang berumur tujuh tahun, penuh dengan mata rasa ingin tahu.
  • Anda yang berumur lima puluh lima tahun, wajah penuh garis penyesalan.
  • Anda yang tidak pernah membaca cerita ini, tetapi menjadi orang yang sama sekali berbeza.

Salah satu versi anda menggeleng kepala. “Tak semua orang layak memegang fail kosong itu.”

Versi lain anda tersenyum. “Tapi sekarang, dia sudah memegangnya.”

Fail itu berat di tangan. Dia mula mencerminkan dirinya. Tetapi pada pantulan itu, anda lihat… bukan wajah anda sekarang, tetapi wajah seseorang yang duduk di bilik gelap dengan pen di tangannya, menulis kisah ini.

Suara yang pernah anda baca tadi kini semula bergema di kepala, tetapi kali ini lebih dekat, seolah-olah ia datang dari dalam minda anda: “Pilihan seterusnya bukan untuk watak. Ia untuk kau. Letakkan fail itu… dan kembali hidup seperti biasa. Atau buka helaian baru… dan mesyuarat tidak akan pernah berakhir.”

Meja bulat itu senyap. Semua versi anda memandang. Pen di tangan bergerak sendiri, menunggu arahan. Di penjuru bawah halaman itu, dengan tulisan kecil hampir tidak terbaca, ada catatan: “Mesyuarat ini tidak pernah direka. Ia hanya dipanggil semula.”

Di hadapan anda, dua helaian kertas kosong tiba-tiba muncul semula pada fail. Pada helaian pertama tertulis: “Pilihan A – Letakkan Fail”. Anda menutup fail, menghembus nafas perlahan-lahan dan menolak kerusi ke belakang.

Cahaya putih dari pintu yang muncul begitu terang sehinggakan anda terpaksa memejamkan mata. Apabila anda membukanya semula. Anda berada di dalam bilik sendiri, buku ini terletak di atas meja. Anda cuba mengingati cerita tadi, tetapi hanya beberapa sahaja yang kekal.

                Nama watak? Tidak jelas.

                Butiran mesyuarat? Hilang.

 Namun setiap kali anda berdiri di depan cermin, anda rasa seperti seseorang sedang memerhati dari seberang sana dan tersenyum.

Pada helaian kedua tertulis: “Pilihan B – Tulis Helaian Baru”. Anda mengambil pen itu dan mula menulis. Mula-mula tentang masa depan yang anda inginkan. Kemudian, tentang masa depan yang paling anda takuti.

Huruf-huruf itu bercahaya, melompat dari kertas dan terbang mengelilingi meja bulat. Setiap versi anda di sekeliling meja membaca hasil tulisan itu, dan wajah mereka berubah sekelip mata.

Ada yang gembira, ada yang marah, ada yang menangis dan ada yang merajuk. Salah satu daripada mereka ini adalah yang paling mirip anda sekarang. Dia sedang berdiri dan berkata  “Kau sudah faham. Kau bukan peserta lagi. Kau adalah ruang mesyuarat itu sendiri.”

Dinding bilik mula memanjang tanpa penghujungnya. Meja bulat itu bertambah kerusi dan tak terkira jumlahnya. Di kerusi-kerusi itu, muncul orang asing yang tidak anda kenali sebenarnya tetapi setiap satu memandang anda seperti mereka pernah mengenali anda sebelum ini. Suara bergema dari setiap arah: “Mesyuarat bermula sekarang.”

Catatan di bahagian bawah muka surat: “Sama ada pilihan anda, anda akan tetap di sini. Perbezaannya hanya sama ada anda sedar ataupun tidak.”

Lampiran Rahsia – Arkib Dimensi

Klasifikasi: SULIT – Akses Terhad kepada Ahli Meja Induk sahaja

Kod Fail: MPTW / Rujukan 78

Status: TIDAK LENGKAP – beberapa maklumat hilang akibat “Pembersihan Ingatan” secara automatik.

1. Ringkasan Operasi: “Mesyuarat” ialah fenomena kognitif-spasial yang berlaku serentak di pelbagai lapisan realiti. Subjek utama (disebut Pengerusi Sementara) akan:

  • Menerima Fail Kosong.
  • Menghadiri sesi meja bulat bersama variasi diri mereka dari garis masa lain.
  • Mengalami Pilihan Penentu, yang menentukan sama ada Mesyuarat diteruskan atau diganti dengan Mesyuarat baharu.

Kitaran ini berulang tanpa had. Tiada subjek pernah benar-benar “keluar” tetapi hanya berpindah kerusi.

2. Rekod Kitaran Terkini

  • Pengerusi Sementara: [RAHSIA SULIT]
  • Bilangan Variasi Diri Dikesan: 8 utama, 225 bayangan sampingan.
  • Anomali: Subjek mula menulis naratif yang melibatkan pembaca luar, memecahkan Dinding Kelima sepenuhnya.
  • Kesan: Sekurang-kurangnya 4 pembaca telah melaporkan mimpi tentang bilik mesyuarat dalam masa 24 jam selepas membaca teks ini.

3. Catatan Lapangan

Petikan dari pemerhati lapangan: “Sebenarnya, paling menakutkan bukanlah bilik itu. Hakikatnya, bilik itu tidak pernah dibina. Bilik itu adalah bentuk fikiran kolektif yang wujud hanya bila seseorang mula mengingatinya.”

4. Amaran kepada Pembaca

Jika anda membaca ini, kemungkinan besar anda telah dianggap Pengerusi Yang

Berpotensi. Tanda-tandanya termasuk:

  • Melihat pantulan diri sendiri yang tidak pernah meniru gerakan sebenar anda.
  • Bermimpi akan meja bulat walaupun tidak pernah melihatnya.
  • Menemui helaian kertas kosong di tempat yang tidak masuk akal.

Protokol Jika Terpilih:

  1. Jangan isi fail kosong dengan peristiwa penting, cuma detik-detik kecil sahaja.
  2. Jangan cuba mengingati semua variasi diri anda sekaligus.
  3. Bersedia untuk Mesyuarat Susulan dalam tempoh 7 malam berturut-turut.

5. Nota yang Ditemui di Fail Sebenar

Tulisan tangan tidak dikenali: “Jangan percaya bahawa anda ada pilihan. Pilihan itu hanyalah cara mesyuarat demi memastikan anda duduk di kerusi yang mereka mahukan.”

Fail kosong di hadapan anda kini tidak kosong lagi. Setiap halaman dipenuhi tulisan yang anda kenal sebelum ini daripada setiap perenggan, setiap dialog, setiap nota rahsia.

Anda membacanya dan sedar sesuatu yang tidak menyenangkan. Catatan ini bukan catatan tentang watak lain. Catatan ini adalah catatan tentang anda membaca cerita ini.

Ayat pertama yang anda nampak: “Seorang lelaki tanpa nama dijemput menghadiri mesyuarat di sebuah bilik yang tiada pintu.” Begitulah ayat pembuka cerita yang anda ingat baca pada awal tadi.

Tetapi apabila anda menyelak helaian seterusnya, anda melihat kesemua sambungan yang pernah anda baca sebelum ini. Sangat lengkap dan tanpa satu pun perkataan yang berbeza.

Di halaman terakhir, terdapat Minit Mesyuarat bertarikh hari ini:

                Agenda: Pemilihan Pengerusi Baru.

                Calon: [Nama anda ditulis di sini].

                Status: Terpilih.

Nota: Subjek telah membaca keseluruhan fail tanpa meninggalkan satu muka surat pun. Keadaan ini membuktikan kesediaannya untuk mengambil alih kerusi.

Kerusi di meja bulat mula bergerak perlahan-lahan, seolah-olah menunggu anda duduk. Versi lain diri anda tersenyum. Ada juga versi lain yang bangga, ada yang sinis dan ada yang marah dengan cerita ini.

Satu suara bergema di seluruh bilik, tetapi kali ini ia menggunakan suara anda sendiri: “Mesyuarat ini akan direkodkan semula.” Pada ayat pertama… hingga saat ini.”

Lampu bilik malap. Hanya fail kosong di hadapan anda yang kelihatan. Anda perlu membuka muka surat pertama untuk memulakan rekod baru.

Oleh itu, ayat pertama yang anda mesti tulis ialah: “Seorang lelaki tanpa nama dijemput menghadiri mesyuarat di sebuah bilik yang tiada pintu.” Gelung tertutup sendiri.

Tetapi tepat ketika tangan anda hampir menuliskan ayat pertama itu, ayat yang akan menghidupkan semula keseluruhan gelung adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku pada mana-mana kitaran sebelum ini terjadi.

Fail kosong itu menutup sendiri secara perlahan. Tetapi dengan hentakan yang mengejutkan seluruh bilik, seolah-olah ada kuasa lain yang lebih hebat daripada mesyuarat itu sendiri. Segala versi diri anda pada sekeliling meja membisu serentak.

Ada yang memandang satu sama lain, ada yang bangkit, ada yang cuba membuka kembali fail itu namun tiada satu pun berjaya.

Lampu-lampu malap di ruang itu berkelip, namun satu-satu padam. Meja bulat yang yang menjadi pusat setiap keputusan mula retak seperti kaca pecah diserap waktu.

Anda merasakan sesuatu yang ganjil bukan hilang, tetapi akan kembali. Ingatan tentang anda yang sebenar, dunia anda yang sebenar, hidup anda yang belum selesai, semuanya datang bergulung-gulung.

Satu suara bergema, tetapi kali ini bukan suara Suara A, B, C, atau mana-mana versi anda. Suara itu bukan suara yang lebih manusia. Lebih dekat. Lebih jujur.

“Cukuplah. Cerita ini tidak memerlukan kitaran baru. Cerita ini memerlukan penutup.”

Meja bulat runtuh menjadi debu cahaya. Semua versi anda menatap anda bukan lagi sebagai pengerusi ataupun sebagai subjek eksperimen, tetapi sebagai seseorang yang akhirnya membuat pilihan yang bukan ditawarkan kepada sesiapa.

Pilihan untuk berhenti menulis dan ingin meneruskan hidup. Seseorang mungkin versi anda yang paling muda tersenyum perlahan dan berbisik: “Akhirnya, mesyuarat selesai.”

Cahaya putih itu kembali. Pada kali ini ia bukan memanggil anda ke gelung lain. Ruangan gelap itu terbuka sehingga hilang keseluruhannya, seakan-akan pintu terakhir yang tidak pernah ada yang akhirnya muncul juga untuk anda.

Anda mengambil langkah ke luar. Apabila cahaya itu lenyap, bilik kosong itu hilang bersama segala kerusi, segala suara dan segala dunia realiti. Wujud sekali lagi apabila anda terus membuka fail itu.

                Kini fail itu tertutup.

                Cerpen ini juga tertutup.

                Tamat.

Oleh Benjamin Asin

Continue Reading

Previous: Mencari Pemahaman Tentang Naratif Sajak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.