
KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd berpeluang memperkenalkan perkembangan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) kepada delegasi kerajaan negeri Perak dalam satu lawatan rasmi baru-baru ini.
Delegasi tersebut diketuai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak bagi Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee.
Taklimat mengenai pelaksanaan Projek KUTS disampaikan oleh Sarawak Metro Sdn Bhd sempena kunjungan hormat delegasi berkenaan kepada Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, di pejabat beliau.
Dalam pertemuan tersebut, delegasi kerajaan negeri Perak menyatakan minat untuk mengetahui dengan lebih mendalam inisiatif Sarawak dalam usaha menyahkarbonkan sistem pengangkutan awam, khususnya menerusi pelaksanaan Projek KUTS.

Delegasi itu, yang turut disertai wakil Invest Perak, kemudiannya dibawa melawat Fasiliti Pemasangan ART Kuching (KAAF) di Demak Laut.
Semasa lawatan tersebut, para delegasi berpeluang menaiki unit prototaip kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART) dan menerima taklimat mengenai perancangan Sarawak Metro untuk memasang sebahagian besar kenderaan ART berkuasa hidrogen sifar pelepasan secara tempatan di Kuching.
Fasiliti berkenaan dikendalikan oleh kontraktor Pakej Sistem 1 Projek KUTS iaitu sebuah syarikat usaha sama yang terdiri daripada EPR Sdn Bhd, Mobilus Sdn Bhd dan Global Rail Sdn Bhd.
Projek KUTS merupakan inisiatif utama kerajaan Sarawak untuk memodenkan sistem pengangkutan awam di Kuching, dengan fasa pertama melibatkan pembangunan tiga jajaran utama serta penggunaan kenderaan ART berkuasa hidrogen sejajar aspirasi negeri untuk memajukan ekonomi hidrogen dan mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor pengangkutan awam.
