
BINTULU: Penubuhan pusat Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) di Bintulu dilihat mampu memperluas akses sokongan serta memperkukuh kesejahteraan komuniti terjejas HIV dan AIDS di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata,usaha menangani isu HIV dan AIDS perlu dilaksanakan secara berterusan melalui pendekatan berasaskan empati, kasih sayang serta kerjasama pelbagai pihak.
Menurut beliau, golongan terjejas bukan sahaja berdepan cabaran kesihatan, malah turut menghadapi stigma, diskriminasi dan pengasingan sosial yang masih berlaku dalam masyarakat.
Katanya, inisiatif berteraskan komuniti seperti TKTN memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan holistik kepada golongan berkenaan, sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Pendekatan yang berterusan, penuh belas ihsan dan komitmen jangka panjang amat diperlukan bagi memastikan mereka tidak terpinggir daripada sistem sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian TKTN Cawangan Bintulu yang berlangsung di Taman Putrajaya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan perkhidmatan yang disediakan oleh pusat berkenaan turut melengkapi rawatan sedia ada di hospital dan klinik kerajaan.
Menurutnya, kerjasama antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan mampu membentuk ekosistem penjagaan yang lebih menyeluruh serta berkesan.
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM2.25 juta bagi tempoh tiga tahun bagi menyokong kelangsungan operasi pusat tersebut.

“Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan usaha pencegahan, rawatan dan sokongan kepada komuniti terjejas HIV terus diperkasa,” katanya.
Tambah beliau, penubuhan TKTN di Bintulu dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperluas jaringan bantuan serta memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap isu HIV dan AIDS di Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Hanifah Hajar Taib dan Penaung Malaysian AIDS Foundation Borneo, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu.
Oleh Carolyne Utih