
LAWAS: Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, mengadakan lawatan kerja ke Projek Taman Pertanian Tepat Kabuloh (PPFPK) dan Pusat Inkubasi Kabuloh (PIK) yang terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Kabuloh (ARCK) Miri.
Menurut Dr Abdul Rahman, PPFPK merupakan inisiatif kerajaan Sarawak bagi memodenkan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi sistem pelindung hujan (SPH) yang dilengkapi aplikasi Internet Benda (IoT), sekali gus bertujuan menarik minat golongan belia untuk menceburi bidang pertanian.
“Projek ini dibangunkan di atas tanah seluas 10 hektar di ARCK bagi penanaman sayur-sayuran bernilai tinggi untuk pasaran eksport. Pembinaan dijadualkan bermula awal 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2026,” katanya.
Beliau berkata, Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) telah dilantik oleh MFICORD sebagai agensi pelaksana bagi projek bernilai RM30 juta itu.

“Apabila siap kelak, Syarikat Agro Global Sdn Bhd (AGSB), iaitu syarikat subsidiari PPNS, akan menjadi peneraju utama pengoperasian PPFPK,” katanya yang juga Pengerusi PPNS.
Sementara itu, Dr Abdul Rahman memaklumkan Pusat Inkubasi Kabuloh (PIK) yang telah siap dibina beberapa tahun lalu bagi tujuan pemprosesan kopi dan kerepek, sebelum ini masih belum beroperasi berikutan ketiadaan syarikat yang berminat untuk menjadi operator.
Bagaimanapun, hasil daripada lawatan berkenaan menyaksikan AGSB bersetuju untuk mengambil alih pengendalian PIK bagi memproses pelbagai produk pertanian tempatan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Pertanian Miri Hafriz Razak; Pegawai Penguasa ARC Kabuloh Johnson Chong, Krystle Amanda Rabai Nasip; Pengurus Besar PPNS, Gom Raway; Pengurus Bahagian Kejuruteraan PPNS, Sibylle Suley Surik; Foo Kee Seng; serta Ketua Pegawai Eksekutif Agro Global Sdn Bhd, Nobel Pang.
Oleh Adeng Edrus