Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Kisah tiga Pengiran dari Brunei
  • KOLUMNIS

Kisah tiga Pengiran dari Brunei

Utusan Sarawak 6 hours ago

KETURUNAN pengiran dari Brunei mempunyai sejarah tersendiri di Sarawak. Kehadiran mereka telah lama wujud di wilayah Borneo.

Mereka merupakan kelas atasan dalam strata masyarakat Brunei, dan memain peranan penting dalam pentadbiran. Mereka dihormati oleh masyarakat tempatan dan mempunyai pertalian dengan Kesultanan Melayu Brunei.

Pada awal abad ke-19 terdapat tiga nama pengiran Brunei yang terkenal dan menghiasai perkembangan sejarah Sarawak. Nama mereka ini tercatat dalam tulisan barat apabila James Brooke datang ke Sarawak.

Mereka yang dinyatakan itu adalah Pengiran Yusof, Pengiran Indera Mahkota dan Pengiran Muda Hashim. Ketiga-tiga mereka ini dilambangkan dengan perwatakan yang berbeza oleh penulis Barat.

PENGIRAN Yusof.

Penulisan ini mengikut selera orang Barat untuk membuat tafsiran berdasarkan yang menyokong dan tidak menyokong mereka.

Pemberontakan

Catatan tentang Pengiran Yusof dalam sejarah Sarawak dikaitkan dengan pemberontakan Sarawak pada 1830-an.

Latar belakang Pengiran Yusof daripada tulisan Dr. Awg Asbol Mail mengatakan beliau adalah anak kepada Sultan Muhammad Tajuddin yang memerintah Brunei dua penggal iaitu dari 1795-1804 dan 1804-1807.

Pengiran Yusof ini juga merupakan bapa mertua kepada Pengiran Hashim iaitu anak kepada Sultan Omar Ali Saifuddin II (1828 -1807).

Pengiran Hashim kemudiannya menaiki takhta sebagai Sultan Brunei dengan gelaran Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin pada 1885. Dari segi perwatakan, Pengiran Yusof dikatakan kurang popular dalam kalangan penduduk Brunei.

Bagaimanapun, beliau tetap dianggap sebagai seorang pemimpin yang berpengaruh dan tegas dalam pentadbirannya. Selain itu, beliau turut terlibat dalam kegiatan perniagaan dan dilaporkan sebagai seorang pedagang yang berjaya.

Beliau juga dikatakan terlibat dalam usaha mencetuskan pemberontakan di Sarawak.

PENGIRAN Indera Mahkota. Foto Wikipedia.

Pengiran Yusof mempunyai hubungan rapat dengan Kesultanan Sambas dan dilaporkan berhasrat menyerahkan Sarawak kepada kesultanan tersebut.

Sebagai balasan, Sultan Sambas dikatakan akan membayar sejumlah wang kepada Pengiran Yusof. Bagaimanapun, usaha tersebut akhirnya gagal kerana tidak mendapat persetujuan daripada pihak Kesultanan Brunei.

Kegagalan ini tidak melenyapkan usaha Pengiran Yusof untuk meneruskan usaha apabila beliau cuba membangkitkan rasa tidak puas hati penduduk Melayu Sarawak dan Bidayuh untuk melawan Brunei.

Taktik beliau ini berjaya apabila Datuk Patinggi Ali memimpin penduduk Sarawak menentang pemerintahan Brunei di Sarawak. Malahan Sambas memberi sokongan senjata kepada pemberontakan ini.

Wakil

Seterusnya muncul nama kedua iaitu Pengiran Indera Mahkota. Nama sebenar beliau adalah Pengiran Shahbandar Pengiran Md Salleh ibnu Pengiran Sharmayuda. 

Kebiasaan beliau dikenali sebagai Pengiran Indera Mahkota. Sultan Brunei telah mengamanahkan tanggungjawab kepada beliau sebagai Gabenor Sarawak pada 1824.

PENGIRAN Muda Hashim. Foto Wikipedia.

Pelantikan beliau ini menandakan penguasaan langsung Brunei ke atas Sarawak yang sebelum ini diperintah oleh tiga pembesar Melayu Sarawak. 

Pada era beliaulah pemberontakan Sarawak berlaku. Pada ketika itu, penemuan mineral antimoni telah menyumbang kepada peningkatan kekayaan ekonomiSarawak.

Bagaimanapun, tindakan Pengiran Indera Mahkota memonopoli kegiatan perlombongan tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan.

Selain itu, masyarakat Bidayuh dilaporkan dikerah untuk mengusahakan lombong berkenaan, keadaan yang membebankan mereka dan seterusnya menambahkan ketegangan terhadap pentadbiran beliau.

Kedua-dua faktor ini menjadi antara punca utama tercetusnya pemberontakan. Situasi tersebut secara tidak langsung memudahkan Pengiran Yusof menggembleng sokongan penduduk Sarawak untuk bangkit menentang Pengiran Indera Mahkota.

Kedatangan

Sokongan daripada Kesultanan Sambas ke atas pemberontakan ini menyebabkan Pengiran Indera Mahkota gagal menamatkan pemberontakkan itu. 

Akhirnya Sultan Brunei mengutuskan Pengiran Bendahara Brunei iaitu Pengiran Muda Hashim untuk membantu menamatkan pemberontakan tersebut.

Dalam hal ini Pengiran Yusof dikatakan mempunyai peranan untuk memencilkan pengaruh Pengiran Muda Hashim di Brunei.  Beliau mempengaruhi Sultan Brunei untuk menghantar Pengiran Muda Hashim. 

Persoalan ditimbulkan oleh Dr Asbol dalam hal ini adalah mengapa Pengiran Bendahara dihantar bukan Pengiran Temenggung yang mempunyai tanggungjawab dalam membenteras sebarang kekacauan berlaku.

Telahan beliau menyatakan bahawa Pengiran Yusof berusaha mengisi kekosongan kuasa yang ditinggalkan oleh Pengiran Muda Hasim di Brunei.

Keadaan ini berkemungkinan berkait dengan pelantikan beliau sebagai pemangku Pengiran Bendahara, yang memberinya kedudukan politik serta pengaruh yang lebih besar dalam struktur pentadbiran ketika itu.

Bantuan

Sementara itu, kehadiran Pengiran Muda Hashim tidak meredakan pemberontakan ini. Pemberontakan Sarawak semakin kuat melawan Brunei. 

Ini menyebabkan kelesuan tentera Pengira Muda Hashim untuk berdepan dengan pihak pemberontakan.

Kedatangan James Brooke memberi peluang kepada Pengiran Muda Hashim untuk menamatkan pemberontakan. Lawatan James Brooke kedua ke Sarawaklah yang membawa perubahan pada sejarah Sarawak dan Brunei. 

Ini kerana Pengiran Muda Hashim bersetuju memberi Sarawak kepada James Brooke sebagai pemerintah jika membantu beliau menamatkan pemberontakan di Sarawak. 

James Brooke bersama-sama pengikutnya memulakan usaha penghapusan pemberontakan ini dengan bersungguh-sungguh kerana janji Pengiran Muda Hashim.

Disini James Brooke mula berkenalan dengan Pengiran Indera Mahkota. Namun James Brooke melihat peranan Pengiran Indera Mahkota ini tidak begitu bersungguh-sungguh untuk menamatkan pemberontakan. 

Oleh itu beliau dengan bantuan Pengiran Muda Hahsim akhirnya berjaya menamatkan pemberontakan tersebut. Kejayaan ini membawa noktah kepada penglibatan ketiga-tiga pengiran ini di Sarawak.

Pengiran Indera Mahkota dianggap sebagai tidak pro-Brooke telah diarah meninggalkan Sarawak. Pengiran Indera Mahkota kemudiannya menulis syair Rakis yang penuh makna tentang kehadiran kuasa Barat dan ancamannya kepada survival Kesultanan Brunei.

Penamat

Pengiran Indera Mahkota juga telah terlibat bersama-sama dengan Syarif Mullar dan Syarif Sahap untuk mempertahankan kekuasan Brunei di Batang Lupar dan sekitarnya. 

Namun kekalahan kedua-dua Syarif ditangan Brooke menamatkan peranan Pengiran Indera Mahkota di Sarawak. 

Beliau telah ditangkap dan dihantar pulang ke Brunei, manakala nasib Pengiran Muda Hashim lebih trajis kerana beliau terbunuh di Brunei kerana terdapat usaha-usaha menghapuskan pengaruh beliau di Brunei. 

Pengiran Yusof pula hilang daripada gambaran sejarah selepas James Brooke menguasai Sarawak. Riwayat beliau juga tamat apabila dibunuh di Kimanis.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. 
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: 100 tahun akan datang, perjalanan udara mungkin jadi milik peribadi?

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.