
MIRI: Kontinjen Zon Utara menyasarkan untuk mengulangi kejayaan muncul sebagai juara keseluruhan pada Kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR) Siri Ke-4 yang akan berlangsung di Sri Aman dan Betong dari 5 hingga 8 Februari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata sasaran itu adalah realistik memandangkan Zon Utara pernah mencipta sejarah sebagai juara keseluruhan pada SUKSAR Siri Pertama di Kuching.
“Dengan semangat berpasukan, disiplin serta komitmen tinggi dalam kalangan atlet dan pegawai, saya yakin kejayaan itu mampu kita ulangi sekali lagi,” katanya.

Kim Shin yang juga merupakan Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Zon Utara ke SUKSAR IV di Stadium Bandaraya Miri di sini semalam.
Menurut Lee, seramai 305 peserta yang terdiri daripada wakil Pejabat Residen, pegawai, urusetia Majlis Sukan Negeri Sarawak dan Perbadanan Sukan Sarawak, jurulatih serta atlet dari Bahagian Miri, Bintulu dan Limbang akan mewakili Zon Utara pada kejohanan dwitahunan itu.
Beliau berkata majlis penyerahan bendera berkenaan bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa makna besar sebagai lambang amanah, kesatuan dan semangat perjuangan kontinjen.
“Bendera ini melambangkan maruah Zon Utara. Setiap atlet yang berjuang bukan sahaja membawa nama diri sendiri tetapi mewakili pasukan, zon dan Sarawak secara keseluruhannya,” katanya.
Sebanyak 11 jenis sukan akan disertai kontinjen Zon Utara iaitu angkat berat, berbasikal, bola keranjang, bola jaring, karate, ping pong, petanque, sepak takraw, sofbol, taekwondo dan tinju.
Lee berkata sukan bukan sekadar mengejar kemenangan atau pingat, sebaliknya medan penting dalam membentuk disiplin, daya tahan mental, semangat kesukanan dan kepimpinan dalam kalangan atlet.
Beliau turut berharap kejohanan itu terus menjadi platform penting dalam meningkatkan prestasi atlet Zon Utara untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi termasuk kebangsaan dan antarabangsa.
Pada majlis itu, Lee menyerahkan bendera Kontinjen Zon Utara kepada Chef De Mission Datu Nyurak Keti sebagai simbol tanggungjawab dan kebanggaan seluruh warga Zon Utara.
Oleh Liong Chai Ling