
MIRI: Taktik seorang lelaki menukar warna dan rim motosikal curi bagi mengaburi mata pihak berkuasa tidak berhasil apabila dia akhirnya diberkas polis dalam serbuan di Marudi, semalam.
Suspek tempatan berusia 43 tahun itu ditahan susulan laporan kecurian sebuah motosikal yang berlaku pada 27 Januari lalu di kawasan perumahan berhampiran sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner ( ACP )Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Marudi pada 1 Februari sebelum menahan lelaki berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati motosikal yang dicuri telah diubah suai dengan menukar warna badan serta rim dipercayai bagi mengelakkan dikesan.
“Bagaimanapun, polis berjaya merampas semula motosikal berkenaan dan menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mohd Farhan berkata, semakan rekod lampau mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes curi, ugutan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Hasil saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.
Suspek kini direman sehingga 4 Februari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Miri di talian 085-433400.
Oleh Liong Chai Ling