
SIBU: Regu KESETABB dari Sri Aman muncul juara Pertandingan Sepak Takraw Piala DUN Dudong anjuran Kelab Sepak Takraw Sibu Jaya yang berlangsung di Stadium Azman Hashim, Sibu, semalam.
KESETABB menurunkan pemain gabungan senior dan junior sebagai strategi khas untuk memberi pendedahan pengalaman kepada pemain junior dalam pertandingan kali ini.
Regu KESETABB diwakili oleh Valentine Basat (Apit Kiri), Alistair Sandom (Apit Kanan), Roberto Keling (Tekong), Ricky Mamat (Tekong) serta Bain Jamu sebagai Apit Kanan simpanan.
Dalam peringkat kumpulan, KESETABB telah menjadi juara kumpulan selepas diundi bersama regu EVAVIOR (Bintangor), Sibu Jaya Fighter (Bomba Sibu Jaya) dan pasukan STGK (Kanowit).

Regu ini kemudian melayakkan diri ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan pasukan tuan rumah, regu Cari Tambang dalam pertarungan sengit dengan mata kemenangan 2-1; set pertama menang 15-11, set kedua kalah 10-15 dan set ketiga menang 17-14.
Di peringkat akhir, KESETABB berdepan dengan regu My Spirit (Julau) dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan 2-0, set pertama 15-11 dan set kedua 15-9, sekali gus dinobatkan sebagai juara Pertandingan Sepak Takraw Piala DUN Dudong 2026.
Pasukan ini membawa pulang wang tunai RM700 berserta piala dan pingat sebagai penghargaan.
Menurut Pengurus Pasukan KESETABB, Alexander Frusis, kejayaan ini merupakan hasil daripada latihan berterusan dan kerjasama mantap antara pemain senior dan junior.
Beliau juga menekankan kepentingan memberi peluang kepada pemain muda untuk berdepan pengalaman pertandingan sebenar demi pembangunan sukan sepak takraw di peringkat tempatan.
Selain itu, Alexander berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pemain muda untuk menceburi sukan sepak takraw serta memperkuatkan pasukan KESETABB pada masa akan datang.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Kelab Sepak Takraw Sibu Jaya ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penyokong dan peminat sukan tempatan, sekali gus memperkukuhkan lagi semangat kesukanan di kalangan masyarakat di kawasan DUN Dudong.
Oleh Adi Safarman