
BETONG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan penutupan jalan sementara di beberapa lokasi sekitar Daerah Betong sempena penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 bagi Bahagian Betong–Sri Aman yang dijadual berlangsung dari Khamis hingga Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek berkata, penutupan jalan itu bertujuan melancarkan perjalanan program serta memastikan pergerakan aliran trafik dan keselamatan semua pengguna jalan raya sepanjang tempoh penganjuran.
Menurut beliau, pada Khamis ini penutupan jalan akan melibatkan laluan sepanjang Jalan Betong termasuk pusingan U Debak (KM393.6) dan pusingan U Skrang (KM346) dari 7.00 pagi hingga 10.00 pagi serta 1.00 tengah hari hingga 4.00 petang.
Penutupan sementara yang sama turut dilaksanakan pada Jumaat di lokasi serupa dari 8.00 pagi hingga 11.00 pagi serta 2.00 petang hingga 4.30 petang, sebelum laluan dibuka semula selepas selesai perlumbaan lebuh raya.
Sementara itu, pada Sabtu ini, penutupan jalan sepenuhnya akan dilaksanakan dari 7.00 pagi hingga 4.30 petang melibatkan Jalan Spine Medan berhampiran kawasan Tasik Medan Betong serta Jalan Bukit Pejabat Residen Betong.
Pada Ahad pula, Jalan Bukit Pejabat Residen Betong akan ditutup sepenuhnya dari 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Bagi mengurangkan kesesakan, PDRM menasihatkan orang ramai supaya menggunakan laluan alternatif yang telah dikenal pasti iaitu Jalan Tanjung Assam Betong, Lorong Pertama Simpang Medan, Jalan Jungkong dan Jalan Siew Kwang Ngak sepanjang tempoh penutupan jalan tersebut.
Dalam pada itu, PDRM turut menyarankan semua pengguna jalan raya agar membuat perancangan perjalanan lebih awal, mengurangkan pergerakan tidak perlu, menggunakan laluan alternatif, mematuhi arahan anggota trafik serta mengamalkan sikap bertolak ansur dan berhemah ketika memandu.
DSP Wan Mohamad Ali turut memohon kerjasama orang ramai khususnya di kawasan terlibat agar tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi kelancaran trafik serta keselamatan bersama sepanjang penganjuran SUKSAR IV 2026.
Oleh Adi Safarman