


DARO: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dikhuatiri terjatuh ke Sungai Daro memasuki hari kedua hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, operasi tersebut dimulakan pada 8.00 pagi dengan membabitkan pencarian di dua sektor utama iaitu di air dan darat yang melibatkan pelbagai agensi.
“Operasi di sungai dijalankan menggunakan kaedah operasi penyelamatan di perairan terbuka dari hulu ke hilir sungai dengan radius pencarian sejauh satu kilometer dari lokasi kejadian.
“Bagi sektor darat, pencarian dilakukan dari hulu ke hilir dan hilir ke hulu sungai dengan radius 200 meter dari lokasi kejadian,” kata kenyataan tersebut.
Operasi tersebut turut melibatkan bantuan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
Terdahulu, seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Aqilla Nasuha Shamsol telah dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar sendiri melalui pintu belakang rumah tanpa disedari kedua-dua ibu bapanya di Kampung Panchor di sini semalam.
Bapa mangsa menemui kesan tapak kaki yang menuju ke sungai sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak bomba.
Mangsa masih belum ditemui sehingga kini dan usaha pencarian diteruskan.
Oleh Tarani Lanting