
KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, tidak menolak kemungkinan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang, namun menegaskan keutamaannya ketika ini adalah untuk terus berkhidmat dan menyempurnakan amanah yang dipikul sebagai Datuk Bandar.
Menurut beliau, jawatan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang disandang sejak tujuh tahun lalu bukan pernah dianggap sebagai batu loncatan politik, sebaliknya satu tanggungjawab besar untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kecenderungan politik.
“Sejak hari pertama saya dilantik, niat saya bukan untuk menjadi calon. Saya menerima jawatan ini untuk berkhidmat dan saya percaya saya telah lakukan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak dalam satu temu bual santai di sebuah gerai makan di Jalan Padungan, di sini, sebentar tadi.
Mengulas spekulasi mengenai penyertaannya dalam PRN, Dato Wee menegaskan sebarang keputusan bukan terletak di tangannya, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada pimpinan tertinggi.
“Saya serahkan kepada pihak atasan. Buat masa ini, tanggungjawab saya jelas, berkhidmat sepenuh hati sehingga tamat tempoh,” katanya.
Dalam nada yang tegas, Dato Wee turut menjelaskan bahawa beliau bukan penjawat awam, sebaliknya dilantik secara kontrak, justeru dari segi peraturan, tiada halangan untuk beliau bertanding sekiranya diberi kepercayaan.
“Ramai orang tidak tahu bahawa saya bukan penjawat awam. Saya di bawah kontrak, jadi secara teknikal, saya boleh bertanding,” jelasnya.
Bagaimanapun, Dato Wee menegaskan bahawa landskap politik hari ini menuntut lebih daripada sekadar kemunculan bermusim menjelang pilihan raya, sebaliknya memerlukan rekod khidmat yang jelas dan konsisten.
“Hari ini, rakyat tidak lagi menilai berdasarkan janji atau populariti semata-mata. Mereka mahu lihat kerja, keikhlasan dan rekod sebenar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa politik yang matang bukan dibina melalui serangan peribadi atau budaya mencetuskan kebencian, sebaliknya melalui khidmat berterusan kepada rakyat.
“Kalau seseorang hanya muncul bila mahu bertanding, rakyat boleh menilai. Jika benar mahu berkhidmat, ia perlu dibuat dari awal, bukan bila musim pilihan raya,” tegasnya.
Dalam pada itu, Dato Wee menekankan peranan kerajaan tempatan sebagai jambatan utama antara rakyat dan kerajaan, sambil menegaskan bahawa kepimpinan di peringkat akar umbi perlu sentiasa turun padang dan mendengar denyut nadi rakyat.
“Kerajaan tempatan ialah jambatan. Kalau jambatan itu tidak berjalan kepada rakyat, maka ia gagal berfungsi,” katanya.
Pada PRN lepas, Dato Wee bertanding dibawah panji Gabungan Parti Sarawak (GPS) berentap dengan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Chong Chieng Jen bagi merebut kerusi Padungan.
Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dato Wee, Chong Chieng Jen, Pengarah Pilihan Raya Parti bumi Kenyalang (PBK), Raymond Thong dan Presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak(Aspirasi) Lina Soo.
Bagaimanapun, usahanya untuk memenangi kerusi DUN Padungan digagalkan oleh Chong Chieng Jen dengan majoriti undi 1,198.
Pada PRN-12 Chong Chieng Jen memperoleh jumlah undi 4,686, manakala Dato Wee memperoleh 3,485 undi. Dua calon lain iaitu Raymond Thong dan Lina Soo masing-masing memperoleh 930 dan 193 undi.
Oleh Shahrul Qaizat