
MIRI: Isu kebersihan serta keadaan kerusi yang uzur di ruang menunggu Lapangan Terbang Miri kini sedang ditangani apabila kerja-kerja penambahbaikan kemudahan tempat duduk awam telah pun dilaksanakan oleh pihak berkaitan.
Menurut Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Miri, Chaw Zhe Jian, pihaknya yang bertindak sebagai pembantu kepada Ahli Parlimen Miri telah segera mendapatkan penjelasan susulan aduan orang awam berhubung keadaan kerusi yang didakwa kurang memuaskan dan menjejaskan imej bandar.
Beliau berkata, berdasarkan laporan terkini yang diterima daripada ibu pejabat, setakat ini kira-kira 150 unit kerusi penumpang baharu telah berjaya diganti.
“Kerusi baharu ini menggunakan reka bentuk tanpa kusyen fabrik, sekali gus lebih mudah dibersihkan, selain dapat meningkatkan tahap kebersihan di ruang menunggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, baki kerusi lain akan diganti secara berperingkat bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kepada penumpang tidak terganggu sepanjang proses penambahbaikan dijalankan.
Sementara itu, jelasnya lagi, kusyen fabrik yang telah usang dan rosak akan ditanggalkan terlebih dahulu sebagai langkah sementara bagi menjaga aspek kebersihan, keselamatan serta keselesaan asas pengguna.
Chaw menegaskan pihaknya memandang serius setiap maklum balas yang disuarakan oleh orang awam dan menganggapnya sebagai kebimbangan yang wajar.
“Kami akan terus memantau perkembangan kerja-kerja penambahbaikan ini serta menyampaikan suara rakyat kepada pihak berkaitan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling