
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mencipta sejarah tersendiri apabila dianugerahkan Anugerah Bandar Pelancongan Bersih ASEAN bagi kategori Piawaian Pelancongan ASEAN 2026–2028, mengharumkan nama Malaysia di persada ASEAN.
Kejayaan ini diraih selepas DBKU memenuhi semua kriteria ketat ASEAN Tourism Standards dan mendapat perakuan rasmi daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), sekali gus menegaskan komitmen bandar ini sebagai destinasi pelancongan bersih, selamat dan berdaya huni.
Majlis penganugerahan berprestij itu berlangsung di Cebu, Filipina, pada 30 Januari lalu sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2026.
DBKU diwakili oleh Timbalan Pengarah Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek dan Ketua Bahagian Perhubungan Awam DBKU, Norhayati Bidin, yang menerima anugerah tersebut bagi pihak pihak bandaraya.

Kejayaan ini menandakan pengiktirafan pertama DBKU di peringkat ASEAN, sekaligus membuktikan usaha berterusan DBKU dalam memperkukuh tadbir urus bandar dan meningkatkan pengalaman pelancongan bertaraf antarabangsa.
Bukan itu sahaja, DBKU telah memenangi anugerah yang sama dua kali berturut-turut sebelum ini, iaitu pada 2022–2024 dan 2024–2026, menegaskan konsistensi bandaraya ini dalam mengekalkan standard kebersihan dan keselamatan yang tinggi.
Pengiktirafan berterusan ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar yang lebih mampan, selain meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat dan daya tarikan pelancongan Kuching.
DBKU turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga Kuching, atas komitmen, disiplin dan kerjasama mereka dalam memastikan bandar ini terus menjadi antara destinasi pelancongan terbersih di ASEAN.
Pencapaian terbaru ini, Kuching bukan sekadar bandar bersejarah, tetapi kini juga bandar pelancongan bertaraf antarabangsa yang membanggakan Malaysia di mata dunia.
Oleh Adi Safarman