
KUCHING: Polis berjaya memberkas seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pecah masuk rumah dan curi motosikal, susulan kejadian suspek dikejar polis di Jalan Kuching–Serian yang tular di media sosial, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata suspek ditahan semalam kira-kira 1.30 petang di kawasan Taman Berjaya, Batu 4½, Jalan Penrissen, di sini.
Menurut beliau, tangkapan tersebut berkait dengan satu kes pecah masuk rumah di Jalan Laksamana Cheng Ho, Kuching yang dilaporkan pada 30 Januari lalu, selain beberapa kes curi motosikal di sekitar bandar Kuching.
“Siasatan awal mendapati polis telah mengesan kenderaan jenis Perodua Viva berwarna putih yang dinaiki suspek di Jalan Kuching–Serian menghala ke Kuching,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak melarikan diri sebelum melanggar beberapa kenderaan di atas jejambat ketika cuba melepaskan diri.

“Dalam kejadian tersebut, seorang anggota polis mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan ketika cuba menahan suspek,” jelasnya.
Tambah beliau, hasil kejar-mengejar itu, suspek akhirnya berjaya diberkas oleh pasukan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BJSD) Kuching.
“Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah, manakala semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 20 rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan rumah untuk mencuri, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebat,” ujarnya.
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, polis mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut agar menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Frankie, di talian 019-846 2132 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.