

PAKAN: Lebih kurang RM4.2 juta telah disalurkan kepada 21 gereja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan sejak 2019 hingga 2025 menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom.
Katanya, penyaluran peruntukan tersebut dilaksanakan secara adil dan saksama selaras dengan dasar kerajaan negeri yang menitikberatkan keperluan semua komuniti tanpa mengira latar belakang agama.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak kekal komited untuk menambah peruntukan UNIFOR pada tahun ini, namun ia tertakluk kepada pematuhan prosedur serta keperluan pelaporan lengkap pelaksanaan projek bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti penggunaan dana awam.
“Keutamaan peruntukan akan diberikan kepada pihak yang belum pernah menerima bantuan sebelum ini
“Tahun ini, peruntukan yang disalurkan akan bertambah sebab ada syaratnya,” katanya ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan ke tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Pakan di Rumah Gelau, Lubuk Ubi, Batu 4, semalam.
Jelasnya, jumlah peruntukan tersebut bergantung kepada keperluan serta kelulusan yang ditetapkan.
“Jadi, selepas pelaksanaan, laporan projek perlu dikemukakan kepada pejabat saya untuk penyelarasan.

“Kemudian saya minta pegawai saya menyelaras pelaksanaan supaya setiap peruntukan yang telah diluluskan dapat dilihat pelaksanaannya, termasuk bagaimana ia dibelanjakan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa keperluan mengemukakan laporan pelaksanaan bukan bertujuan menyekat bantuan, sebaliknya bagi membolehkan kerajaan menilai keberkesanan projek serta mempertimbangkan penambahan peruntukan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Mawan menegaskan bahawa UNIFOR terus diiktiraf sebagai mekanisme yang adil dan sistematik dalam menyalurkan bantuan kepada agama-agama lain di negeri ini.
Semua permohonan peruntukan, katanya, perlu dikemukakan melalui ADUN kawasan masing-masing.
“Semua permohonan perlu dikemukakan dan diselaraskan dengan baik kepada ibu pejabat UNIFOR, kerana jika tidak dibuat demikian, sebarang masalah boleh menyebabkan projek tidak dapat dilaksanakan dan peruntukan tidak dapat ditingkatkan
“Jadi semua permohonan perlu melalui kami sebagai ADUN kawasan untuk kami lihat dan semak kerana perkara ini sangat penting.
“Tahun ini saya menjangkakan semua permohonan mesti dihantar dalam Februari, jangan berlengah. Projek yang masih belum siap pula, kontraktor perlu menyiapkannya serta menghantar laporan dalam tempoh terdekat dan permohonan peruntukan baharu juga perlu dibuat sebelum hujung Februari,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar setiap peruntukan dan geran yang disalurkan oleh kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat serta diurus secara berhemah dan telus, tanpa sebarang pembaziran atau penyalahgunaan.
Mawan turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan kepimpinan masyarakat dalam melaksanakan projek pembangunan, selain menggesa ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) agar sentiasa berbincang secara inklusif bagi memastikan setiap isu setempat dapat diselesaikan dengan berkesan.
Oleh Earl Anek