
BINTULU: Perkembangan sukan elektronik atau e-sukan di negara ini terus membuka ruang kepada pembinaan bakat, kepimpinan dan sahsiah golongan muda melalui pendekatan yang lebih tersusun dan berdaya saing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, e-sukan kini muncul sebagai satu medium penting dalam membentuk generasi belia yang berdisiplin, fokus serta mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Menurut beliau, pengiktirafan e-sukan sebagai sukan rasmi negara serta penyenaraiannya sebagai disiplin teras membuktikan bidang tersebut semakin mendapat tempat dalam arus pembangunan sukan nasional.
Katanya, penglibatan dalam e-sukan bukan sekadar menguji kemahiran bermain, sebaliknya menuntut latihan berterusan, perancangan strategi, komunikasi berkesan serta semangat kerja berpasukan.
“Melalui e-sukan, pemain dididik untuk mengurus masa, membina disiplin diri dan meningkatkan daya pemikiran strategik, selari dengan keperluan dunia moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan ‘Honor of Kings Tournament 4.0 2026’ yang berlangsung di Kompleks Beli-Belah Boulevard di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Johnny Pang menegaskan peranan ibu bapa amat penting dalam membimbing anak-anak yang berminat dalam bidang e-sukan agar dapat mengimbangi antara akademik, latihan dan kehidupan sosial.
Menurutnya, sokongan keluarga serta kawalan yang seimbang mampu memastikan bakat muda berkembang secara sihat dan berterusan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JCI Jalan Tanjung Kidurong dan jawatankuasa penganjur atas inisiatif menyediakan platform kompetitif yang tersusun kepada pemain tempatan.
“Penganjuran kejohanan seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah menggalakkan nilai kesukanan, kepimpinan dan jalinan persahabatan dalam kalangan belia,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha berterusan semua pihak amat diperlukan bagi memastikan Sarawak terus melahirkan pemain e-sukan berkualiti yang mampu mengharumkan nama negeri di peringkat lebih luas.
Oleh Carolyne Utih