
KUCHING: Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) secara rasmi menyatakan sokongan penuh terhadap usaha memodenkan infrastruktur bandar melalui integrasi sistem lampu isyarat pintar (STILE) di Sri Aman ke dalam Pusat Operasi Bersepadu Sarawak (SIOC).
Menurut kenyataan SADA berkata, langkah proaktif ini merupakan sebahagian daripada transformasi digital negeri untuk memastikan pengurusan trafik di Sri Aman mencapai standard pemantauan berpusat yang lebih sistematik.
Inisiatif tersebut dilihat amat penting bagi memastikan kelestarian infrastruktur di bahagian tersebut selaras dengan standard pengurusan data yang diguna pakai di seluruh Sarawak pada masa kini.
Perkara tersebut menjadi fokus utama dalam satu Mesyuarat Penyelarasan Antara Agensi yang diadakan baru-baru ini bagi memperincikan pelaksanaan teknikal sistem berkenaan di kawasan-kawasan strategik.
Pengerusi SADA, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim menegaskan bahawa komitmen agensi tersebut adalah selari dengan visi pembangunan infrastruktur pintar yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
Beliau menyatakan bahawa pembangunan teknologi seperti ini bukan sekadar kemajuan fizikal, malah merupakan satu keperluan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui sistem pengangkutan yang lebih teratur.
”SADA sentiasa komited untuk menyokong sebarang pembangunan yang memberi kemudahan kepada rakyat di wilayah ini,” ujar beliau dalam mesyuarat tersebut, di sini, baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, sistem yang berupaya meningkatkan kawalan lalu lintas dengan lebih cekap akan diberi sokongan penuh demi menjamin kelancaran pergerakan kenderaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
Selain aspek keselamatan, integrasi STILE ke dalam SIOC juga dijangka dapat membantu pihak berkuasa mengumpul data trafik secara masa nyata bagi tujuan perancangan pembangunan bandar pada masa hadapan.
Mesyuarat penting tersebut turut dihadiri oleh Pemangku Residen Bahagian Sri Aman serta wakil-wakil utama daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Daerah Sri Aman, Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Kementerian Pengangkutan.
Oleh Adi Safarman