Nama Francisca Luhong James mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi kerana kebanyakan orang sudah mengenalinya sebagai Miss Universe Malaysia 2020 yang bakal menggalas tanggungjawab membawa nama Malaysia ke pentas Miss Universe peringkat antarabangsa pada tahun depan.
Namun tidak ramai yang mengenali gadis berusia 25 tahun ini mempunyai impian besar untuk memperkasakan kaum wanita, khasnya di negara ini agar mereka mampu memberi impak di dalam apa juga bidang yang mereka ceburi.
“Sebab itu saya berusaha memfokus kepada Women Empowerment menerusi pergerakan Women Right. Ia bukan sahaja berkaitan dengan wanita di negara kita tetapi juga di seluruh dunia,” ujarnya.
Kata Francisca, walaupun isu ini sudah diperjuangkan oleh pelbagai pihak tetapi baginya isu ini tidak pernah lapuk kerana di mana-mana sahaja terdapat ramai wanita yang memerlukan bimbingan, kesedaran serta bantuan untuk menyerlahkan keupayaan masing-masing.
Justeru anak Sarawak berdarah Iban-Kayan-Kenyah ini berhasrat memanfaatkan peluangnya sebagai Miss Universe Malaysia bagi mempromosikan perjuangan untuk melonjakkan kaum wanita ke tahap lebih tinggi, khasnya dalam bidang ekonomi.
Beliau yakin semua wanita, sama ada gadis, suri rumah tangga mahupun yang berkerjaya, mampu mencetuskan impak di dalam bidang masing-masing dan secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan negara.
Satu impiannya adalah untuk menganjurkan satu acara yang mengetengahkan bakat atau kreativiti wanita untuk dikomersialkan , selain menganjurkan beberapa siri taklimat kesedaran tentang kesihatan, hak wanita dan sebagainya.
Francisca sendiri menjadikan wanita lain sebagai contoh untuk memotivasikan diri di dalam bidangnya, seterusnya memburu impiannya.
“Ada dua wanita yang saya kagumi. Di dalam bidang Ratu Cantik, saya mengagumi semangat Pia Alonzo dan di dalam bidang kebajikan, saya mengagumi Oprah Winfrey,” ujarnya.
Apa yang dikagumi Francisca pada Pia Alonzo adalah semangatnya yang tidak pernah pudar walaupun pernah tewas beberapa kali sehinggalah beliau dinobatkan sebagai Miss Universe 2015.
Mengenai Oprah Winfrey pula, Francisca tersentuh hati dengan aktiviti kebajikan yang dilaksanakan oleh wanita itu sehingga mampu mendekati dan menyentuh hati golongan kurang bernasib baik, terutama kanak-kanak, dengan kemurahan hatinya.
Satu aspek lain yang juga mendapat tempat di hatinya adalah masalah keciciran dalam kalangan pelajar di bandar.
“Saya dapat tahu daripada seorang rakan yang aktif di dalam bidang sosial bahawa ada ramai anak dalam usia persekolahan yang tidak ke sekolah kerana ibu bapa sendiri tidak begitu mementingkan pendidikan anak-anak,” kata beliau.
Menurut Francisca, memang mengejutkan apabila ada ibu bapa yang masih bersikap sedemikian sedangkan kemudahan pendidikan terbaik disediakan di bandar-bandar.
Justeru katanya, kempen-kempen kesedaran perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi menyuntik fahaman di dalam diri ibu bapa untuk mementingkan pendidikan agar anak-anak tidak mewarisi kesusahan mereka.
Kepada anak muda yang mempunyai impian di dalam hidup, Francisca menasihati mereka agar berani mengorak langkah untuk merealisasikannya.
“Percaya pada diri, kejar impian itu. Namun anda perlu tahu apa matlamat impian itu dan buat sesuatu untuk mencapainya,” ujar Francisca mengakhiri perbualan.
Oleh Haini Darani