
SIMANGGANG: Seorang guru lelaki berusia 35 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sri Aman hari ini bagi menghadapi 30 pertuduhan membabitkan dua kes berasingan melibatkan dua mangsa berlainan, berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Dalam kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak menjelaskan, bagi kes pertama yang melibatkan mangsa pertama, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, satu pertuduhan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Dua pertuduhan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, 12 pertuduhan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta tiga pertuduhan di bawah Seksyen 10 akta yang sama.
Sementara itu, bagi kes kedua melibatkan mangsa kedua, tertuduh turut berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, empat pertuduhan di bawah Seksyen 5 akta berkenaan serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Farhan Mohd Fauzi, manakala semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sri Aman, Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 30 pertuduhan yang dibacakan. Mahkamah kemudian menetapkan 5 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara menunggu tarikh tersebut, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin tempatan.
Namun, tertuduh gagal menjelaskan wang jaminan dan diarahkan menjalani tahanan reman di Penjara Sri Aman sehingga tarikh sebutan seterusnya.
Kes ini berjaya dibawa ke mahkamah hasil siasatan terperinci pihak polis, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras jenayah seksual, khususnya yang melibatkan kanak-kanak dan remaja.
Tindakan tersebut turut diperkukuh melalui kerjasama ibu bapa mangsa yang tampil menuntut keadilan serta tindakan tegas terhadap pelaku.
Oleh Adi Safarman