
SIBU: Seorang lelaki dan dua wanita dikejarkan ke Hospital Sibu selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan kendiri di Lorong Sentosa Utara 8, di sini, petang tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, mangsa terdiri daripada seorang lelaki,42, serta seorang wanita, 46, dalam keadaan separuh sedar dan seorang lagi wanita 45, sakit di bahagian dada.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.48 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta terlibat dalam kemalangan kendiri selepas terjatuh ke dalam longkang.
“Seorang mangsa lelaki didapati terperangkap di dalam kenderaan manakala dua mangsa wanita tercampak keluar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa lelaki yang terperangkap tanpa menggunakan peralatan hidraulik sebelum mangsa diletakkan di atas pengusung.
“Dua mangsa dibawa ke Hospital Sibu menggunakan ambulans manakala seorang lagi mangsa dibawa oleh ahli keluarga,” katanya.
Oleh Akun Giman