Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Virus Nipah: Keselamatan pelancong, rakyat tidak boleh dipandang ringan
  • KESIHATAN

Virus Nipah: Keselamatan pelancong, rakyat tidak boleh dipandang ringan

Utusan Sarawak 7 hours ago
MENTERI Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media bersempena kunjungan hormat ketua pengarah Jabatan Belia Sukan Negara, Azura Abidin di Bangunan Baitulmakmur II, di Petra Jaya, hari ini. Foto Shahrul Qaizat

PETRA JAYA: Kebimbangan terhadap penularan virus Nipah susulan laporan kes di India perlu diberi perhatian serius, khususnya ketika negara giat menerima kemasukan pelancong, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, walaupun situasi semasa belum mencapai tahap kritikal, langkah berjaga-jaga perlu diperkukuh bagi mengelakkan sebarang risiko penularan wabak berbahaya yang boleh menjejaskan keselamatan awam serta industri pelancongan.

“Kalau dibandingkan dengan COVID-19, kadar kematian virus Nipah ini jauh lebih tinggi dan setakat ini tiada vaksin. Jadi kita tidak boleh ambil mudah,” katanya pada sidang media bersempena kunjungan hormat ketua pengarah Jabatan Belia Sukan Negara, Azura Abidin di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Karim, kes yang dilaporkan di India tertumpu di wilayah Assam, namun pemantauan rapi perlu dilaksanakan terhadap pelawat dari kawasan yang dikenal pasti berisiko, khususnya dari Asia Selatan.

Beliau berkata, langkah saringan di pintu masuk negara seperti pemeriksaan suhu badan dan pemantauan kesihatan perlu diperkemas bagi mengelakkan virus berkenaan dibawa masuk ke negara ini.

“Sebagai negeri dan negara yang membuka pintu kepada pelancong, kita tidak boleh menerima semua tanpa kawalan. Jika pelawat datang dari kawasan yang sudah dikenal pasti berisiko, sepatutnya ada pengawalan tertentu,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Karim menegaskan isu berkaitan kesihatan awam berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) di Sarawak, dan pihak berkenaan perlu sentiasa berwaspada.

Menurutnya, Sarawak menyokong usaha menarik lebih ramai pelancong, namun keselamatan rakyat mesti menjadi keutamaan.

“Kita mahu pelancong datang, tetapi kita tidak mahu pelancongan membawa musibah kepada rakyat. Sebab itu keseimbangan antara promosi pelancongan dan langkah pencegahan kesihatan awam amat penting,” katanya.

Beliau turut menggesa agensi berkaitan untuk memantau perkembangan semasa wabak virus Nipah di peringkat antarabangsa dan mengambil tindakan segera sekiranya situasi bertambah serius.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Virus Nipah: Rakyat Malaysia yang melancong ke India digesa ambil langkah berjaga-jaga

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.