
KUCHING: Permohonan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan bagi merujuk persoalan undang-undang berhubung penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai terhadap operasi petroleum syarikat itu di Sarawak akan didengar 16 Mac ini.
Melalui notis usul difailkan secara e-filing pada 10 Januari lalu, Petronas menamakan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak sebagai pihak responden dalam permohonan berkenaan.
Menurut laporan Berita Harian online, tarikh pendengaran ditetapkan pada prosiding pengurusan kes pertama berhubung perkara itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Azaraorni Abd Rahman, melalui sidang video hari ini.
Permohonan kebenaran difailkan di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan akan didengar oleh seorang hakim.
Mana-mana permohonan untuk merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan, menurut laporan itu, hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran dari mahkamah tertinggi negara sebelum merit permohonan itu dapat didengar pada tarikh lain.
Dalam satu kenyataan pada 12 Januari lalu, syarikat minyak negara berkata, permohonan itu bertujuan memastikan syarikat berkenaan dapat terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia yang berkenaan serta amalan tadbir urus yang baik.
Petronas menegaskan usul berkenaan tidak bertujuan mencabar aspirasi pembangunan Sarawak atau menghalang peranan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dalam sektor tenaga di negeri itu.
Menurut Petronas, keputusan memfailkan notis usul berkenaan dibuat susulan perbincangan dan rundingan yang telah berjalan sejak 2024 bersama Petros, Kerajaan Persekutuan dan kerajaam negeri Sarawak.
Petronas berkata, walaupun rundingan berkenaan menunjukkan kemajuan dalam aspek komersial dan perkongsian termasuk pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) pada 2020, namun masih wujud perbezaan pandangan berkaitan kerangka kawal selia yang terpakai kepada syarikat itu.
-Bernama