
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat penguat kuasa dan seorang pesara agensi penguat kuasa kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan rangkaian pusat urut terkemuka di negara ini.
Menurut sumber, kelima-lima suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan sekitar 5.00 hingga 7.00 petang semalam.
Sumber itu memaklumkan kesemua suspek disyaki menerima suapan daripada syarikat perniagaan pusat urut untuk melancarkan operasi serta memudah cara proses pengeluaran permit pekerja asing syarikat berkenaan.
“Sehingga kini juga, SPRM telah mengambil keterangan daripada 16 saksi bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.
Menurut sumber, empat daripada tiga penguat kuasa dan pesara berkenaan direman empat hari hingga 2 Februari selepas Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi, manakala seorang lagi suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sumber memaklumkan SPRM juga telah melakukan penggeledahan di enam lokasi di Lembah Klang melibatkan pejabat serta kediaman suspek yang telah dikenal pasti dan disyaki ada kaitan dengan aktiviti rasuah tersebut.
Katanya, SPRM juga telah mengambil tindakan membekukan 124 akaun perbankan milik individu dan syarikat disyaki ada kaitan dengan kes berkenaan melibatkan nilai kira-kira RM13.3 juta.
“Rangkaian pusat urut ini dipercayai menggunakan sistem perakaunan dua lapis, dengan 80 peratus jualan tunai tidak dilaporkan, menyebabkan anggaran kebocoran cukai sebanyak RM7.56 juta setahun.
“Disyaki terdapat bayaran rasuah sebanyak RM2.7 juta setahun kepada beberapa pegawai daripada beberapa agensi penguat kuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai wang perlindungan.” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
“Siasatan juga sedang menganalisis dan mengenal pasti elemen-eleman di bawah kesalahan jenayah lain khususnya di bawah aktiviti pengubahan wang haram,” katanya.- Bernama