KUCHING: Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) menyusun strategi untuk menjadi penerbit komersial menjelang tahun 2021.
Presidennya, Jaafar Hamdan berkata PEKASA yang kini mencecah usia 15 tahun penubuhannya sedang giat berusaha ke arah matlamat berkenaan.
“Setakat ini PEKASA hanya dapat menerbitkan beberapa buah buku berjudul Lok Cinta, Harum Manis, Diksi ke diksi, Perjalanan (Datuk Salbiah Painah) dan Darwasarwa,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, barisan penulis vateran dan penulis muda di negeri ini berhimpun di Pertemuan Karyawan Sarawak ke-10 (PKS 2020) baru-baru ini.
Bertempat di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak (DBPCS) majlis ilmu itu dihadiri sekitar 30 orang ahlinya.
Majlis yang bertujuan untuk bermesyuarat mengenai laporan tahunan bagi tahun 2019 itu hanya membentangkan laporan kegiatan dan kewangan serta perbincangan usul.
Difahamkan mesyuarat berkenaan dijadualkan berlangung pada April 2020 lalu terpaksa dianjakkan kepada 26 September, iaitu Sabtu lepas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19 sejak Mac.
Pengisian pertemuan sehari itu adalah pada sebelah pagi iaitu Bicara Orang Muda (BOM) bertajuk ‘Apa yang kaki Mahu’ menampilkan panel seperti Osman Zaini, Muhd Ramadhani Suhaimi dan Faizal Jerawi.
Seterusnya sebelah petang diadakan Wacana Ilmu ‘PEKASA Jadi Penerbit?’ dengan barisan pnel Mohodin Malek, Yusuf Mustanir dan Dyg Azizah Salleh.