
SIBU: Mahkamah Majistret Sibu semalam, telah memerintahkan 11 individu untuk menjalani program rawatan dan pemulihan mandatori setelah didapati terlibat dalam aktiviti penagihan dan penyalahgunaan dadah.
Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu menerusi kenyataannya dalam Facebooknya semalam memberitahu, individu berkenaan terdiri daripada enam lelaki berusia lingkungan 30 hingga 43 tahun telah diperintahkan untuk menjalani Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) secara fizikal di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).
Daripada jumlah tersebut, tiga individu termasuk dua individu gelandangan yang masing-masing diselamatkan di Daerah Sibu dan Bintulu telah dijatuhkan perintah di bawah Seksyen 6 (1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Sementara tiga individu lagi diperintah mengikut Seksyen 6 (2)(a) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Kesemua individu berkenaan telah dihantar oleh AADK Daerah Sibu ke PUSPEN Kuching sebagai usaha membantu proses rawatan dan pemulihan individu terlibat seterusnya mengekang gejala dadah daripada terus menular dalam masyarakat.
Dalam pada itu, mahkamah turut mengeluarkan perintah terhadap lima individu lain yang berusia dalam lingkungan 31 hingga 56 tahun untuk menjalani Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).
Perintah tersebut melibatkan tiga lelaki di bawah Seksyen 6 (2)(b) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983, serta dua wanita di bawah Seksyen 6 (1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Langkah penguatkuasaan itu merupakan komitmen berterusan pihak berkuasa dan sistem kehakiman dalam memastikan isu penyalahgunaan dadah dan bahan di Daerah Sibu ditangani secara serius.
Oleh Akun Giman