Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Mencari Pemahaman Tentang Naratif Sajak
  • WBS

Mencari Pemahaman Tentang Naratif Sajak

Utusan Sarawak 3 weeks ago

MEMBACA sesebuah sajak dalam konteks naratif tidak sesukar membaca sesebuah cerpen atau novel. Naratif dalam sajak memerlukan adunan bahasa yang tersurat dan tersirat sebagai alur pengisahannya. Kalau tersurat pun, sajak masih menyembunyikan inti pati yang utamanya dengan kiasan, bidalan, perlambangan dan pelbagai gaya bahasa lain. Apatah lagi yang tersirat, sudah tentu penyembunyian inti pati cerita selalunya mendorong pelbagai tafsiran oleh pembaca.

            Pelbagai pandangan tentang sifat sajak yang boleh difahami dengan sajak yang susah difahami. Sebab, sajak yang terlalu berselindung sehingga menimbulkan ambiguiti yang absurd akan menyusahkan pembaca dan mesejnya tidak sampai. Sebaliknya, sajak yang terlalu langsung tanpa ada kepuitisan pula dianggap penulisan prosa yang hanya dibunga-bungai dengan mainan bahasa.

            Oleh yang demikian, memperkatakan sajak untuk mencari pemahaman tentang naratifnya memerlukan beberapa kaedah yang perlu untuk dibincangkan. Pertama, apakah sajak sebagai genre yang paling pendek, menyulitkan pembacaan? Kedua, adakah sajak wajib membina kesamaran dalam penyampaian mesejnya? Ketiga, apakah dengan penggunaan bahasa indah memadai untuk menjadikan sifat sajak itu sebagai sebuah karya yang baik?

            Persoalan ini perlu kita rungkaikan satu persatu dalam mencari pemaknaan dalam sajak itu sendiri. Pertama, sajak pendek bukan bermakna semua hal diperkatakan di dalamnya. Kedua, sajak bukan meletakkan kesamaran sebagai jalan mudah tetapi perlu memanipulasikan ungkapan untuk menjentik pemikiran. Ketiga, keindahan dalam sajak bukan diwakili oleh kesulitan pentafsiran tetapi keupayaan gaya bahasa yang menjinakkan cara menilai fikir dan keharmonian bahasa digunakan secara tepat dan padat.

            Untuk melanjutkan perbincangan kita, mari kita sama-sama meneliti tiga buah sajak yang telah disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lepas. Tiga sajak berkenaan ialah sajak berjudul “Siulan Rimba” nukilan Qurratu Aini Izzatie Abdullah, “Damai Ilmu Alam” nukilan Jojie Shazri dan “Pepohon Janji” nukilan Jasmin Norhasfitri.

            Sajak “Siulan Rimba” bercerita tentang suasana fauna dan flora secara tidak langsung. Pencirian jelas pada setiap kata yang membentuk imej cerita. Ada pengungkapan secara paradoks yang menimbulkan pertanyaan pada naratifnya. Sebagai contoh, pada rangkap pertama baris ketiga dan keempat yang mengungkapkan “daun-daun tunduk, tapi burung tetap gembira”. Pertembungan dua naratif ini menimbulkan kekeliruan dalam konteks pengungkapan tetapi menarik dalam penelitian. Perhatikan keseluruhan sajak ini;

Sang rimba mendabik dada

raja di pelosok hijau

daun-daun tunduk,

tapi burung tetap gembira

Merak mengepak,

warna pelangi mendaki senja

namun sayap indahnya,

tak mampu menyentuh awan

(kebesaran hanyalah bayang)

(keindahan tidak menuntut pengakuan)

Di ranting dan akar,

suara kecil terus menembus kabut

mengingatkan rimba

yang sederhana

sering lebih bebas.

            Begitu juga dengan kaedah mengayakan teknik pada rangkap kedua. Pengungkapan empat baris pada rangkap ini hanya sebagai satu persoalan makna yang kemudiannya diberi gagasan mesej bahawa “kebesaran hanya bayang, keindahan tidak menuntut pengakuan”. Persoalannya, apakah pemahaman kita tentang naratif seorang “merak mengepak” dengan “sayap indahnya” untuk dijalankan dengan “pelangi mendaki senja” dan “tak mampu menyentuh awan”?

            Keupayaan penulis ini membina imaginasi antara sifat “merak, pelangi, sayap dan awan” sebagai subjek yang berkaitan tetapi menimbulkan kekeliruan pada “kebesaran, bayang, keindahan dan tiada pengakuan” menjadikan sajak ini terkepung dalam sesuatu isu yang sarat tanpa fokus naratifnya. Hal ini jelas kerana dalam rangkap ketiga, penulis melakukan pusingan perenungan bahawa “pada ranting dan akar” hanya dianggap “suara kecil” yang “terus menembus kabut”.

            Persoalannya, “mengingatkan rimba” tentang “yang sederhana” akan memberi jawapan “sering lebih bebas” seperti mengalirnya sungai yang penuh dengan longgokan kayu-kayan yang hanyut. Kita seakan-akan hilang arah untuk memahami tujuan naratif ini diperkatakan untuk dikongsi dengan pembaca.

Kalau diteliti, seakan-akan ada unsur penggunaan atau bantuan kecerdasan buatan (AI) yang melorongkan perjalanan naratif dengan kutipan diksi yang menarik tetapi tanpa arah naratif yang jelas.

Kalau tidak ada campur tangan kemudahan tersebut, saya jangka ini antara penulis yang boleh diberi perhatian kerana kemampuannya menjalinkan diksi yang menarik walaupun tidak membawa gagasan naratif yang tepat.

Kelemahan ketaranya mungkin terlalu terbawa-bawa dengan pengungkapan bombastik yang terlalu lewah sehingga melupakan mesej paling unggul sebenar yang perlu diketengahkan. Sebagai contoh, kalau membaca judulnya, kita menyangka bahawa isunya adalah tentang alam sekitar.

Sajak kedua berjudul “Damai Ilmu Alam”, bercerita tentang Pusat Astronomi Borneo yang dibina di Pantai Damai, Santubong. Naratif yang langsung sebegini sering memerangkap kreativiti untuk bercerita. Lingkaran telah disempadani oleh episod yang ada pada isu yang hendak diperkatakan tanpa membawa satu andaian tentang prosesnya. Oleh yang demikian, sajak ini menjadi pendek dan hanya menyatakan secara tersurat tanpa pemaknaan lain secara tersirat. Perhatikan keseluruhan sajak ini;

Di kaki Santubong

mata langit dibuka

Damai menatap bintang

bumi menulis takwim

Anak Kenyalang menyigi malam

antara gelap dan doa

berceracakan mimbar

di mana ilmu diangkat

Perlahan— ke orbit.

            Untuk membincangkan sajak ini dalam konteks pemahaman naratif dalam sajak, mungkin akan disentuh tentang pemilihan kata untuk disesuaikan dengan cerita. Sebagai contoh, pada rangkap pertama, ada tiga teras kata yang besar tetapi menjadi hanya simpulan kecil pada makna. Ungkapan “mata langit”, “menatap bintang” dan “bumi menulis” terlalu kosong, sedangkan ungkapan berkenaan menarik dan segar.

            Usaha memberi kiasan atau perumpamaan tidak kesampaian kerana diungkapkan terlalu drastik. Memang, sebagai penulis kita boleh menyembunyikan maksud inti patinya tetapi sebagai penulis juga, kita perlu adil kepada pembaca. Begitu juga, rangkap kedua sajak ini lebih mengutamakan plot cerita tanpa memaknakannya. Sebagai contoh, mengapa “menyigi” (sifatnya agak tradisional) bukan lagi “menerangi” (moden)? Pertanyaan ini bukan provokasi, tetapi sekadar mempersoalkan kesesuaian pemilihan kata dengan situasi naratif.

Sajak ini kalau ditenuni dengan mendalam, pasti menjadi sajak yang menarik kerana membawa satu isu yang boleh disesuaikan dengan tema futuristik. Tetapi kerana sifatnya hanya untuk menyatakan, maka sajak ini hanya terzahir dengan gambaran, tidak muncul sebagai sajak yang penuh dengan gagasan. Sebagai contoh, cara jentikan pemikiran dengan ungkapan “perlahan – ke orbit”, walaupun pendek tetapi ada sasaran dan kemahuan.

Sajak ketiga, “Pepohon Janji” bercerita tentang prinsip janji dengan melambangkan janji sebagai sebuah pohon. Naratif ini boleh juga bersifat peribadi atau didorong untuk memberi ingatan kepada makna janji itu sendiri agar difahami oleh orang lain. Mari kita sama-sama perhatikan keseluruhan sajak ini;

Biar dipercik air lautan

biar ribut taufan angin menderai

biar disinar panas mentari

Ia tetap teguh tegap berdiri

Kukuh akarnya mencengkam bumi

ia pepohon kuat

meski tanahnya retak dan sepi

dahan-dahannya tetap mendepa 

menyambut cahaya, walau cuma sisa

Ia bukan sekadar pepohon biasa

ia adalah saksi waktu dan luka 

yang berdiri di hujung senja

memegang satu janji setia

Daunnya berbisik dalam zikir alam

rantingnya menulis sajak dalam diam

pada angin ia serahkan harapan

pada langit ia curahkan kerinduan

Biar malam datang menelan cahaya

biar hari-hari dicarik derita

ia tak pernah rebah

kerana kukuh akarnya mencengkam bumi

            Sajak ini sudah memaparkan drastiknya pengungkapan pada rangkap pertama. Perihal naratif janji ditekan dengan “dipercikkan air lautan, ribut taufan, panas mentari” untuk menyatakan betapa “kekukuhan” janji itu perlu dijitukan. Secara umumnya, istilah “janji” terlalu dijunjung tanpa huraian situasi. Cuba bayangkan jika sajak ini dimulakan dengan rangkap kedua kemudian rangkap pertama, pasti memberi pemaknaan dan pemahaman yang lebih tersusun naratifnya. Contohnya dengan sedikit penambahbaikan dua rangkap berkenaan;

Kukuh akarnya mencengkam bumi

ia pepohon kuat

meski tanahnya retak dan sepi

dahan-dahannya tetap mendepa 

menyambut cahaya walau cuma sisa

Pohon ini

biar diperciki deras air lautan

atau diderau ribut taufan

hingga dibahangi panas mentari

ia tetap teguh tegap berdiri

            Permulaan dalam naratif seperti sajak perlu memancing kesan dan keinginan pembaca meneroka yang tersirat. Oleh yang demikian, sajak tidak boleh berfungsi seperti filem atau drama pembunuhan yang memaparkan kematian terlebih dahulu, sebelum dicari pembunuhnya. Kalau cerpen atau novel, stail sedemikian amat dialu-alukan, tetapi untuk sajak, permulaan memerlukan penjelasan secara gambaran dan kemudian diceritakan urutan prosesnya.

            Walau bagaimanapun, ini bukan bermakna dalam sajak tidak ada “imbas kembali” atau “pusingan plot”. Hal ini boleh dilakukan tetapi memerlukan seseorang penulis sajak memahami konsep dan konteks ceritanya bagi mewujudkan naratif sebuah sajak. Bukan hanya paparan tetapi membawa sekali gagasan pemikiran yang boleh dijelmakan sebagai falsafah.

            Contohnya pada rangkap ketiga sajak ini, kaitan antara ungkapan “bukan sekadar pepohon biasa” dan “saksi waktu dan luka” dikaitkan dengan ungkapan “di hujung senja” dan “memegang satu janji” seakan-akan kenyataan penuh lewah yang disengajakan dengan peristiwa untuk membuktikan gahnya janji. Situasi ini tidak memberi pemaknaan yang dalam kecuali jika dibaca tanpa ada rasa.

            Hal ini berbeza dengan rangkap keempat apabila unsur keagamaan dikaitkan dengan situasi naratif. Walaupun tidak cukup sebagai proses yang ada pada pohon, sekurang-kurangnya ada perspektif lain yang boleh melorongkan naratif janji dengan lebih bermakna. Ungkapan “daunnya berbisik dalam zikir alam” membawa makna yang penuh tamsilan dengan jalinan ungkapan “rantingnya menulis sajak dalam (lebih indah jika ditambah diksi “bahasa”) diam”. Sepatutnya diusahakan lagi citra pada pohon sebagai cabang naratif untuk memberi gambaran tentang janji dengan lebih kukuh dan utuh.

            Ungkapan baris terakhir pada rangkap kelima sajak ini boleh sahaja dimanfaatkan pada rangkap keempat. Sementara baris pertama hingga ketiga pada rangkap kelima sajak ini boleh sahaja dijadikan kaitan dalam rangkap kedua. Hal ini kerana rangkap kelima seakan-akan membina antiklimaks pada naratif sajak ini. Kepanjangan sajak kalau tidak diperkukuh dengan kemampuan memaknakan setiap penggunaan diksi yang membina ungkapan, akan menjadikan sajak bersifat langsung, hilang fokus dan tidak mengasyikkan.

Naratif merupakan jalan pemikiran untuk memahami perkongsian yang dicipta dan ditulis oleh penulis. Kalau naratifnya keliru, maka cara kita mentafsir pun akan bercelaru. Oleh yang demikian, sebagai penulis sajak, pastikan kita memahami tujuan sesuatu isu diketengahkan kepada pembaca, bukan sekadar menulisnya untuk memenuhi keghairahan menghasilkan karya.

Kepada ketiga-tiga penulis ini, teruskan usaha dengan memperluas bacaan dalam pelbagai disiplin ilmu dan jadikan bahan bacaan ini sebagai naratif yang boleh membina cara fikir dan cara tindak. Naratif bukan lagi hiburan tetapi menjadi bahan pemahaman untuk menjinakkan emosi yang dahagakan pertimbangan keputusan.

Selamat berkarya.

Oleh: Ja’afar Hamdan

Continue Reading

Previous: Merobek Naratif Popular
Next: Cerpen: Mesyuarat Ini Akan Diteruskan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.