
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membayar balik RM15.672 juta kepada Petronas dalam tempoh enam bulan bermula dari hari ini, berhubung cukai berlebihan kepada syarikat itu bagi tahun taksiran 2010.
Cukai berlebihan itu berpunca daripada penolakan perbelanjaan yang berkaitan dengan kos pejabat Petronas di luar negara bagi tahun berkenaan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk P. Ravinthran, Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Nadzarin Wok Nordin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh syarikat minyak dan gas negara itu.
Pertikaian perbelanjaan yang ditanggung oleh syarikat minyak dan gas itu adalah untuk pejabat luar negara di Sudan dan Vietnam yang Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perbelanjaan pejabat negara itu tidak ditolak di bawah Seksyen 15 (1) Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967.
Dalam menyampaikan keputusan mahkamah, Wong berkata Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa Petronas tidak berhak menolak perbelanjaan berkaitan pejabat di bawah akta berkenaan.
Hakim itu berkata penyata cukai bagi 2010 telah difailkan dalam tempoh yang ditetapkan dan syarikat berkenaan juga telah membayar sepenuhnya semua cukai yang perlu dibayar kepada Ketua Pengarah LHDN dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Beliau berkata mahkamah tidak bersetuju dengan hujah Ketua Pengarah LHDN bahawa Petronas telah cuai dalam mengemukakan penyata cukai 2010, malah sekiranya wujud kecuaian oleh syarikat berhubung penyata cukai itu, Mahkamah Tinggi dan PKCP telah tersilap dari segi undang-undang kerana gagal memutuskan sama ada kecuaian itu menyebabkan kerugian cukai.
Wong berkata Mahkamah Tinggi dan PKCP sepatutnya memutuskan bahawa perbelanjaan pejabat negara itu telah dibelanjakan oleh syarikat di luar Malaysia.
“Berdasarkan alasan yang dinyatakan, khususnya kesilapan undang-undang yang dilakukan oleh PKCP dan Mahkamah Tinggi, Ketua Pengarah LHDN dihalang oleh Seksyen 39 (1) Akta Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 daripada mengeluarkan Borang JA (taksiran tambahan) dan kami mengetepikannya,” katanya.
Beliau berkata Ketua Pengarah LHDN diarahkan membayar semula RM11,392,044 dan RM4,280,556 kepada Petronas dalam tempoh enam bulan bermula dari hari ini.
“Dengan persetujuan kedua-dua pihak, tiada perintah mengenai kos bagi rayuan ini, prosiding di Mahkamah Tinggi dan di hadapan PKCP,” katanya.
Pada prosiding hari ini, peguam S. Saravanan Kumar dan Nur Amira Ahmad Azhar mewakili Petronas, manakala Peguam Kanan Hasil Ashrina Ramzan Ali dan Peguam Hasil Nik Amyrah Syarinie Mohd Dusuki mewakili Ketua Pengarah LHDN.
-Bernama