
KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii, berkata dakwaan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak memperuntukkan dengan jelas hak Sarawak ke atas minyak dan gas mencerminkan tafsiran yang sempit dan tidak lengkap serta mengabaikan konteks sejarah dan perlembagaan.
Berucap di Parlimen, Yii berkata MA63 mesti difahami sebagai kontrak pembinaan negara dan asas perundangan pembentukan Malaysia, bukannya dokumen yang menyenaraikan setiap sektor secara terperinci.
Beliau menegaskan bahawa MA63 perlu dibaca bersama dokumen asas berkaitan seperti Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan, yang dengan jelas meletakkan tanah dan sumber asli di bawah bidang kuasa negeri, dengan perlindungan tambahan untuk Sabah dan Sarawak.
Yii berkata kedaulatan Sarawak ke atas tanah dan sumber tidak pernah dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan, sambil menegaskan bahawa pemilikan tanah termasuk kawasan luar pesisir adalah hak negeri di bawah undang-undang Sarawak selepas Hari Malaysia.
Beliau menambah bahawa kewujudan undang undang seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974 menunjukkan kawalan persekutuan ke atas petroleum diperoleh kemudian melalui perundangan, dan bukannya diwarisi semasa pembentukan Malaysia.
Menurut Yii, tindakan Sarawak di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958 merupakan kesinambungan sah hak sedia ada dan bukan satu cabaran terhadap Persekutuan.
Beliau berkata perkara ini kini berada di hadapan mahkamah, yang disifatkannya sebagai saluran yang wajar untuk menentukan tafsiran perlembagaan, sambil menambah bahawa Sarawak hanya menuntut apa yang telah dijanjikan semasa pembentukan Malaysia dan bukan lebih daripada itu.
Oleh Connie Chieng