Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • OMO 1958 vs PDA 1974
  • KOLUMNIS

OMO 1958 vs PDA 1974

Utusan Sarawak 7 hours ago

SELAGI Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak (OMO) 1958 berkuat kuasa, selagi itulah Sarawak mengawal perlombongan, penerokaan dan pengeluaran minyak di Bumi Kenyalang ini.

Itu mesej Sarawak dari awal lagi hingga sekarang.

Ordinan yang digubal pada 1958 itu, lima tahun sebelum pembentukan Malaysia, memberi kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk mengeluarkan lesen dan pajakan, mengawal aktiviti minyak dan gas serta mengenakan fi, sewaan dan cukai berkaitan.

Pada 1958, Badan Perundangan Sarawak dikenali sebagai Majlis Negri pada waktu itu, meluluskan OMO 1958 (Cap. 85) untuk mengawal perlombongan minyak di Sarawak, termasuk pelantar benua.

Malah Akta Perlombongan Petroleum (PDA) 1974 tidak memansuhkan OMO 1958 dan tidak mengecualikan Petronas daripada mematuhi undang-undang negeri yang sah mengikut Perlembagaan.

TUNGGU keputusan mahkamah… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, manakala gambar kiri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Berikut secara ringkas intipati dua akta ini:

Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974)

Status & skop

          •        Undang-undang Persekutuan diluluskan oleh Parlimen Malaysia pada 1974.

          •        Terpakai di seluruh Malaysia, termasuk Sarawak dan Sabah.

Peruntukan utama

          •        Seksyen 2 memperuntukkan bahawa hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan ke atas petroleum (minyak dan gas) diserahkan kepada Petronas.

•        Memberi Petronas kuasa eksklusif untuk meneroka, mengeluarkan, memproses dan memasarkan petroleum.

          •        Negeri menerima bayaran tunai lima peratus sebagai royalti

Ciri penting

          •        Bersifat pemusatan kuasa (centralisation).

          •        Diluluskan selepas 1963 iaitu selepas pembentukan Malaysia.

          •        Menjadi asas dominasi Petronas dalam industri minyak dan gas negara.

Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak (OMO) 1958

Status & skop

          •        Undang-undang negeri Sarawak, digubal pada 1958, sebelum pembentukan Malaysia.

          •        Terpakai khusus di Sarawak.

Peruntukan utama

          •        Mengawal perlombongan, penerokaan dan pengeluaran minyak di Sarawak.

          •        Memberi kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk:

          •        Mengeluarkan lesen dan pajakan,

          •        Mengawal aktiviti minyak dan gas,

          •        Mengenakan fi, sewaan dan cukai berkaitan.

Ciri penting

          •        Mencerminkan hak asal Sarawak ke atas sumber asli sebelum Malaysia.

          •        Selari dengan kuasa negeri ke atas tanah dan sumber.

          •        Wujud sebelum undang-undang Persekutuan seperti PDA 1974.

Akta Perlombongan Petroleum (PDA) 1974 tidak memansuhkan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dan tidak mengecualikan Petronas daripada mematuhi undang-undang negeri yang sah mengikut Perlembagaan.

Isu Perlembagaan & MA63 

          * OMO 1958 ialah undang-undang yang wujud sebelum 1963, maka ia dilindungi di bawah prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan (termasuk Perkara 95B dan Jadual Kesembilan).

          • PDA 1974 digubal tanpa pindaan perlembagaan khusus yang jelas memansuhkan hak negeri Sarawak terhadap minyak dan gas.

          •        Inilah asas hujah bahawa PDA 1974 tidak secara automatik mengatasi OMO 1958 di Sarawak tanpa proses perlembagaan yang sah.

Kesimpulan ringkas

OMO 1958 menegaskan hak asal Sarawak ke atas minyak dan gas, manakala PDA 1974 mewujudkan kerangka persekutuan berpusat melalui Petronas

Pertembungan kedua-dua undang-undang ini terletak pada persoalan keutamaan perlembagaan, MA63 dan kesahan penyerahan hak negeri.

Pada 12 Januari lalu, Petronas telah memohon kepada Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bagi mendapatkan penjelasan mengenai undang-undang dan peraturan yang mengawal operasi minyak dan gasnya di Sarawak.

KERAJAAN Sarawak secara konsisten menegaskan bahawa hak-haknya kekal dilindungi di bawah OMO 1958, iaitu undang-undang negeri yang wujud sebelum pembentukan Malaysia.

Dalam permohonan itu yang difailkan secara e-filing, Petronas menamakan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak sebagai pihak responden dalam permohonan berkenaan.

Dalam satu kenyataan, syarikat minyak negara berkata, permohonan itu bertujuan memastikan syarikat berkenaan dapat terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia yang berkenaan serta amalan tadbir urus yang baik.

Namun, kerajaan Sarawak secara konsisten menegaskan bahawa hak-haknya kekal dilindungi di bawah OMO 1958, iaitu undang-undang negeri yang wujud sebelum pembentukan Malaysia.

Sarawak menegaskan bahawa hak-hak tersebut tidak pernah dilepaskan dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sama-sama kita tunggu penghakiman dan penjelasan terperinci Mahkamah Persekutuan di Putrajaya nanti. Diharapkan juga lantiklah seorang dua hakim asal Sarawak atau Sabah untuk sama-sama mendengar kes ini.

Bukan berniat untuk mempersoalkan kebijaksanaan dan kewibawaan hakim lain tetapi penyertaan hakim asal Borneo sekurang-kurangnya ada ‘jiwa dan semangat MA63’ bagi menseimbangkan hujahan profesional kehakiman di mahkamah.

Selasa lalu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata kerajaan Sarawak menyerahkan kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan isu mengenai pemilikan, pengurusan atau pengawalseliaan sumber minyak dan gas di negeri ini.

“Tunggu keputusan mahkamah. Tunggu keputusan mahkamah,” katanya berulang kali kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Abang Johari diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mengandungi sebarang peruntukan mengenai pemilikan, pengurusan atau pengawalseliaan sumber minyak dan gas, dan juga tidak mengawal peranan entiti petroleum seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Peguam, Dato Ibrahim Baki yang memainkan peranan penting membantu kerajaan Sarawak dalam rundingan berterusan dengan Petronas pernah mengupas isu berbangkit dengan menyatakan bahawa satu-satunya undang-undang yang Petronas dikecualikan untuk dipatuhi ialah Akta Perlombongan Petroleum 1966 dengan merujuk kepada seksyen 8 PDA 1974.

“Meskipun Seksyen 2, PDA 1974 memperuntukkan petroleum dipindahkan kepada Petronas melalui Perintah Pemindahan seperti yang ditetapkan dalam Jadual Pertama akta tersebut, namun PDA itu tidak memansuhkan Ordinan Perlombongan Minyak dan tidak mengecualikan Petronas daripada mematuhi undang-undang negeri yang sah mengikut Perlembagaan,” katanya yang kini Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros).

Katanya, jika Parlimen berniat untuk mengecualikan Petronas daripada mana-mana undang-undang lain, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan berkaitan aktiviti atau perniagaan huluannya, Parlimen pasti akan menyatakan pengecualian tersebut dalam PDA.

“Oleh itu, PDA dan Ordinan Perlombongan Sarawak mesti wujud bersama, dan kedua-dua undang-undang tersebut mesti dipatuhi,” katanya.

Ini berikutan bahawa Proklamasi Darurat 1969 dibatalkan oleh kedua-dua Dewan Parlimen pada Disember 2011.

“Oleh itu, berdasarkan Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan, Ordinan Darurat No. 10, luput pada Jun 2012. Dengan itu, ini bermakna bahawa Ordinan Perlombongan Minyak 1958 hidup semula mulai Jun 2012.

“Apabila Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) No. 10 diisytiharkan menurut Proklamasi Darurat 1969, maka Ordinan Perlombongan Minyak tidak dimansuhkan walaupun Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 diperluas ke Sarawak,” katanya.

Oleh itu, mana-mana pihak atau syarikat yang beroperasi di Sarawak mesti mematuhi semua undang-undang negeri yang berkaitan khususnya OMO 1958 dan Ordinan Pengagihan Minyak, 2016 (Cap 72).

Apa guna tanam keranji

Kalau tidak manis bergula

Apa guna tabur janji

Kalau kata tidak dikota.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Mendukung titah Agong dan tatakelola

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.