Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • MA63 tidak boleh ditafsir sempit, libatkan teras perlembagaan Sarawak
  • TEMPATAN

MA63 tidak boleh ditafsir sempit, libatkan teras perlembagaan Sarawak

Utusan Sarawak 8 hours ago
AHLI Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie Foto: Parllimen Malaysia

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie menegaskan Sarawak wajar menolak tafsiran sempit bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak merangkumi hal ehwal minyak dan gas, sambil menyifatkan pendekatan sedemikian sebagai “tidak lengkap dari sudut strategik” dan mengabaikan teras perlembagaan hubungan antara Persekutuan dan Sarawak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat, Isnin lalu terhadap soalan Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju.

Soalan tersebut meminta pendirian terkini Perdana Menteri berhubung tuntutan Sarawak berkaitan Order in Council 1954 dan Akta Laut Wilayah 2012, selain sama ada rundingan MA63 dapat mengelakkan pertindihan kuasa antara Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Dalam jawapan bertulis itu, Azalina memaklumkan perkara berkenaan kini berada di hadapan Mahkamah Persekutuan berdasarkan input dan maklum balas rasmi Petronas, dan kerajaan menghormati kebebasan kehakiman serta akan mematuhi keputusan mahkamah.

Beliau turut menyatakan bahawa MA63 merupakan dokumen asas pembentukan Malaysia, namun tidak mengandungi peruntukan khusus mengenai pemilikan, pengurusan atau kawal selia minyak dan gas, yang sebaliknya ditadbir oleh undang-undang persekutuan khususnya Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang meletakkan hak petroleum kepada Petronas.

Azalina juga merujuk kepada Perjanjian Penyelesaian Komersial antara Petronas dan kerajaan Sarawak bertarikh 7 Disember 2020, yang menurutnya membuka laluan kepada peranan lebih aktif Petros dalam rantaian nilai industri minyak dan gas.

Mengulas perkara itu, Doris berpandangan bahawa menyifatkan MA63 sebagai “diam” mengenai minyak dan gas bukan sekadar isu teknikal tadbir urus, sebaliknya merupakan persoalan perlembagaan mengenai had kuasa Persekutuan ke atas Sarawak sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia.

“Pada pandangan saya, jawapan bertulis Datuk Seri Azalina kepada Ali Biju adalah tidak lengkap dari sudut strategik apabila ia mencadangkan MA63 tidak meliputi minyak dan gas. Pengabaian itu menyentuh inti pati hubungan perlembagaan antara Persekutuan dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, tafsiran sempit tersebut terlepas pandang tujuan sebenar MA63 yang bukan untuk menyenaraikan setiap sektor secara terperinci, tetapi untuk melindungi autonomi Sarawak dan kedudukannya yang setara sebagai rakan pengasas Malaysia.

“Sarawak tidak terbit daripada satu statut persekutuan, tetapi daripada satu perjanjian perlembagaan yang membentuk negara ini. Justeru, mana-mana undang-undang persekutuan termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974 perlu ditafsir selaras dengan MA63, bukannya dengan cara yang melemahkannya,” katanya.

Doris menegaskan isu pokok bukan kewujudan PDA, tetapi sama ada akta tersebut boleh mengatasi perlindungan perlembagaan sedia ada tanpa persetujuan Sarawak, sekali gus menjadikan tuntutan negeri itu sebagai perkara yang boleh dipertikaikan dari sudut undang-undang.

Beliau turut menyifatkan sebarang pengabaian terhadap Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958) sebagai tidak boleh diterima, memandangkan undang-undang tersebut digubal sebelum Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia dan mengawal aktiviti perlombongan minyak di tanah Sarawak.

“Kita mesti mengiktiraf bahawa OMO 1958 mendahului PDA dan tidak pernah dimansuhkan secara nyata dengan persetujuan Sarawak di bawah MA63.

“Apabila Sarawak bergantung kepada OMO 1958 hari ini, ia bukan menentang undang-undang persekutuan, sebaliknya mengaktifkan kuasa negeri yang telah dipelihara,” katanya.

Menurut beliau, apabila OMO 1958 diambil kira, dakwaan bahawa PDA ‘menyelesaikan segala-galanya’ menjadi boleh dipertikaikan dari sudut undang-undang, dan inilah sebabnya pengabaian tersebut dianggap serius.

Dalam pada itu, Doris melahirkan rasa kesal terhadap pihak-pihak yang melabel Sarawak sebagai tamak atau angkuh dalam perbahasan berkaitan sumber asli, sambil menegaskan Sarawak tidak menuntut layanan istimewa, sebaliknya hanya menuntut agar janji-janji tahun 1963 dihormati.

“Menghormati MA63 akan mengukuhkan Malaysia. Mengabaikannya pula akan melemahkan asas Persekutuan,” katanya.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Wanita tonggak kekuatan pembangunan Sarawak
Next: i-CATS selaraskan visi institusi sokong aspirasi aeroangkasa dan angkasa Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.