
KUCHING: Lebih 690 guru pendidikan awal kanak-kanak dari Kuching, Padawan dan Miri telah menyertai siri latihan Kurikulum Prasekolah 2026 (KP2026) yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan prasekolah di seluruh Sarawak.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Jurulatih Program dan Pengetua Tadika, Grace Wong, berkata KP2026 bukan sekadar perubahan silibus, sebaliknya satu anjakan minda dalam pendekatan pendidikan awal kanak-kanak.
Sementara itu, Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Swinburne Sarawak, Ting Mee Ling, berkata KP2026 menandakan peralihan pendidikan awal negara ke arah amalan terbaik global yang lebih menekankan pembelajaran bermakna dan berasaskan kompetensi.
Pensyarah lain, Dr Alicia Lim, pula berkata penglibatan Swinburne Sarawak dalam pelaksanaan KP2026 mencerminkan komitmen universiti itu dalam menyokong agenda pendidikan nasional melalui kerjasama industri dan akademik.
Presiden AKO, Jason Kong, berkata penganjuran latihan itu mencerminkan kesiapsiagaan sektor pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak dalam melaksanakan KP2026 dan meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah.
Program latihan itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Tadika (AKO) dan mendapat pengendorsan Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan nasional KP2026 bagi prasekolah swasta.
Swinburne Sarawak menganjurkan dua sesi latihan utama di kampus Kuching pada 29 dan 30 November 2025 yang melibatkan lebih 192 pendidik, serta pada 17 dan 18 Januari 2026 dengan penyertaan lebih 330 pengusaha tadika, pengetua dan guru, manakala satu lagi sesi diadakan di MYY Mall, Miri pada 6 dan 7 Disember 2025 dengan penyertaan lebih 168 peserta.
Latihan KP2026 memberi tumpuan kepada peralihan daripada pengajaran berasaskan subjek kepada pembelajaran berasaskan kompetensi dengan penekanan terhadap pembangunan holistik kanak-kanak melalui konsep Insan Sejahtera, merangkumi aspek emosi, intelek, rohani, fizikal dan sosial.
Sepanjang sesi latihan, peserta didedahkan kepada literasi digital, pendidikan nilai dan sahsiah, perkembangan sosioemosi, bahasa dan literasi, kreativiti serta kemahiran kognitif melalui demonstrasi, perbincangan kumpulan dan aktiviti amali bagi menterjemahkan keperluan kurikulum ke dalam amalan bilik darjah.
Kerjasama antara Swinburne Sarawak dan AKO turut memberi pendedahan langsung kepada pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DECE) mengenai pelaksanaan kurikulum kebangsaan, selain memastikan kandungan pengajaran universiti sejajar dengan keperluan KP2026.
AKO turut diiktiraf sebagai penyedia latihan KP2026 di Sarawak, sekali gus memperkukuh penyelarasan dan pembangunan profesional pendidik prasekolah di seluruh negeri.