ADI SAFARMAN
SIMANGGANG: “Kami sekeluarga amat bersyukur kerana doa supaya jasad anak ditemui segera akhirnya termakbul,” kata Rabakyah Rosli, 46, ibu kepada Yanha Mahrat, 29, yang menjadi mangsa serang buaya ketika memasang pukat di Kampung Melayu Tanjung Bijat, petang Rabu lalu.
Jasad Yanha berasal dari Kampung Lingga ditemui terapung oleh penduduk Kampung Melayu Bakong pada jam 7.30 pagi semalam di sekitar kawasan Sungai Beradik iaitu 2.7 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Rabakyah berkata, mereka reda dengan ketentuan Ilahi.
Katanya, walaupun tidak dapat menahan kesedihan ketika dimaklumkan penemuan mayat anaknya jam 7.30 pagi semalam, dia tetap bersyukur kerana harapan untuk menyempurnakan pengebumian jasad Yanha, tertunai.
“Sepanjang misi pencarian dijalankan sejak petang Rabu lalu, saya dan suami tidak putus berdoa selain menunaikan solat hajat agar anak kami segera ditemui dan Alhamdulillah ianya dikabulkan.
“Saya reda dengan takdir ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari anak kami terutamanya pasukan penyelamat yang bertungkus lumus,” katanya.
Katanya, ini bukan pertama kali anaknya itu pergi memukat ikan bersama saudaranya, Mohd Nor Suhaili, 46, Mohd Nazri Aid, 22 dan Mohd Affendi Abdullah, 19, namun insiden yang berlaku petang Rabu lalu adalah di luar jangkaan.
Mayat Yanha kemudiannya diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.
Dalam kejadian yang berlaku pada petang Rabu lalu, seorang pemuda dikhuatiri disambar buaya ketika sedang memukat ikan dalam kejadian di Sungai Batang Lupar dekat Kampung Melayu Tanjung Bijat.
Dalam kejadian sekitar 2 petang itu, mangsa Yanha Mahrat berusia 29 tahun berasal dari Kampung Lingga itu bersama tiga lagi saudaranya menjalankan aktiviti memukat ikan di perairan Sungai Batang Lupar yang terkenal dengan habitat reptilia itu.
Menurut saudara mangsa Mohd Nazri yang menceritakan perkara berkata kejadian tersebut dianggarkan berlaku sekitar jam 2 petang dimana keempat-empat mereka bersama-sama memasang pukat iaitu 200 meter daripada jeti Kampung Melayu Tanjung Bijat.
“Semasa kami berempat sedang memasang pukat di sungai, tiba-tiba kami terkejut melihat seekor lembaga hitam menarik mangsa (Yanha) sambil memint pertolongan bagi menyelamatkan beliau.
“Namun kami bertiga pada masa itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana khuatir kami akan menjadi pemangsanya juga, ditambahkan lagi melihat saiz buaya yang begitu besar,” katanya.
Sebelum kejadian sekitar jam 11.30 pagi empat bersaudara itu telah turun ke Sungai Batang Lupar untuk memasang pukat iaitu 200 meter dari lokasi kejadian.