

MUKAH: Seorang buruh lelaki warga tempatan ditahan di tepi Jalan Mukah-Selangau kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah pada 12.50 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan beg pinggang suspek, telah menjumpai enam keratan straw lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 1.70 gram dan anggaran nilai RM295.
“Suspek dan barang kes telah dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” jelasnya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ujian urin yang dijalankan telah mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek direman selama dua hari sehingga 30 Januari ini bagi melengkapkan siasatan,” ujarnya.
Tegasnya, IPD Mukah komited dalam usaha membanteras segala aktiviti penyalahgunaan dadah.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah boleh disalurkan dengan menghubungi talian hotline IPD Mukah 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Akun Giman