

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda selepas pemeriksaan mendapati terdapat pelanggaran terhadap syarat perlesenan ketika beroperasi di perairan Bintulu, sekitar 5.1 batu nautika di barat Kuala Kemena, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan itu dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op PERMAI 01/2019, Op TIRIS 3.0 dan Op Pelantar Merah 03/2023.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tunda berkenaan dikendalikan oleh enam kru, terdiri daripada lima warga tempatan termasuk nakhoda serta seorang kru warga Indonesia, dengan lingkungan umur antara 20 hingga 58 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, bot tunda tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Lembaga Perlesenan Perkapalan Dalam Negeri 1981 apabila Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang sah tidak disimpan di atas kapal.

Selain itu, turut dikesan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 apabila lesen penguntukan radas didapati telah tamat tempoh.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau hukuman penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Bot tunda bersama dokumen berkaitan telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang perkapalan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan pelayaran.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian 999, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544,” katanya.
Oleh Carolyne Utih