Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Lelaki ditahan, pistol airsoft dirampas dalam serbuan di Kampung Sui
  • TEMPATAN

Lelaki ditahan, pistol airsoft dirampas dalam serbuan di Kampung Sui

Utusan Sarawak 7 hours ago
SUSPEK ditahan kerana memiliki pistol airsoft

KOTA SAMARAHAN: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas sepucuk pistol airsoft dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Kampung Sui, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Superintenden Damataries Lautin berkata, tangkapan dilakukan sekitar 2.30 petang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan dengan bantuan pegawai D8 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

Menurutnya, suspek berusia 33 tahun yang tidak bekerja ditahan di sebuah rumah tidak bernombor yang dipercayai milik bapanya. Abang kepada suspek turut ditahan kerana dipercayai terlibat dalam satu kes rompakan.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan sepucuk pistol airsoft yang diletakkan di atas sebuah tong ais,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan empat kartrij, enam kelongsong peluru dan empat bebola logam di atas meja di ruang tamu, dengan suspek mengaku pistol airsoft tersebut adalah miliknya.

DUA beradik ditahan berkaitan kes rompakan

Polis turut merampas sepucuk revolver airsoft jenis Smith and Wesson, tiga kartrij 12 gram yang telah digunakan, satu kartrij 12 gram yang belum digunakan, enam peluru serta empat bebola logam.

Damataries berkata, siasatan awal mendapati suspek mendakwa membeli senjata airsoft dan kartrij berkenaan di Pasar Serikin, Bau, daripada seorang lelaki warga Indonesia yang tidak dikenali dengan harga RM1,000.

“Suspek menyatakan senjata itu digunakan untuk kegunaan peribadi bagi menembak haiwan liar di kebunnya,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan semua barang rampasan akan diserahkan kepada Cawangan Persenjataan untuk tujuan ujian kebolehgunaan serta pengesahan jenis peluru.

Menurut beliau, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan dan akan dibawa ke Mahkamah Kota Samarahan hari ini bagi permohonan reman. Polis turut memaklumkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk menjalankan ujian saringan air kencing ke atas suspek.

KERETA milik mangsa rompakan di Samarahan yang dilarikan suspek ditemukan di Sebuyau pada semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Damataries berkata suspek dan abangnya dipercayai terlibat dalam satu kes rompakan di Kampung Sui pada 11 Januari lalu yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM15,000.

Katanya, kejadian berlaku sekitar 4.30 pagi apabila tiga lelaki bersenjatakan parang, kayu dan besi berpura-pura bertanyakan arah sebelum memaksa masuk ke rumah mangsa.

“Mangsa kemudian diikat sebelum suspek melarikan diri dengan wang tunai, peralatan elektronik, dokumen peribadi serta kereta mangsa,” katanya.

Beliau menambah, kedua-dua suspek mengaku terlibat dan memaklumkan seorang lagi rakan subahat masih bebas.

Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai berkaitan dengan kes rompakan berkenaan, termasuk sebuah telefon bimbit, sebuah tablet, sebuah mesin pemotong rumput dan sepucuk pistol airsoft.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. Siasatan masih diteruskan.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: Wilfred sampaikan geran MRP kepada SJK Chung Hua Stampin
Next: GETS-WRP buka pengambilan akhir Mac dan April 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.