
suspek yang berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan hasil risikan dan tindakan susulan pihak polis bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di Daerah Sri Aman. Foto IPD Sri Aman
SRI AMAN: Polis menahan dua lelaki warga tempatan disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar kawasan pentadbiran Sri Aman, semalam.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintendan Dennis Bunyam berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman, kira-kira 8.45 pagi.
Menurut beliau, kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan hasil risikan dan tindakan susulan pihak polis bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
Hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, sekali gus menguatkan syak wasangka penglibatan mereka dalam penyalahgunaan bahan terlarang tersebut.
Susulan itu, kedua-dua individu berkenaan telah ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi membantu siasatan lanjut.
Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau yang berkaitan dengan kesalahan di bawah seksyen yang sama, menunjukkan penglibatan berulang dalam kes penyalahgunaan dadah.
Dalam pada itu, Superintendan Dennis menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan dadah dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang disyaki terlibat, dengan hukuman lebih berat dikenakan sekiranya kesalahan berulang.
Beliau turut menggesa masyarakat supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah melalui balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Sri Aman di talian 083-322121, sambil menegaskan bahawa kerjasama masyarakat amat penting bagi membanteras gejala dadah yang boleh merosakkan kesejahteraan dan nilai dalam kalangan komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman