ISKANDAR PUTERI: Invest Selangor Bhd, agensi penggalakan pelaburan langsung asing dan domestik bagi Selangor, kini giat mengadakan sesi perkongsian dan jalinan dengan penggiat industri di negara ini sekali gus menarik pelabur tempatan ke negeri berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hasan Azhari Idris berkata, sejajar ketidaktentuan iklim ekonomi akibat pandemik Covid-19, program sedemikian turut menjadi pendekatan baharu dalam menjalin hubungan antara para pemain industri Selangor dan di serata negara ini.
“(Menerusi program itu) Invest Selangor berkongsi insiatif Kerajaan Negeri Selangor khususnya Hab Perniagaan Selangor (SBH) yang menyediakan platform rangkaian maya bagi membolehkan komuniti perniagaan berhubung tanpa kehadiran fizikal,” katanya kepada Bernama selepas program ‘Selangor Initiatives and Opportunities’ (Inisiatif dan Peluang di Selangor) di sini, baru-baru ini.
Program sehari hasil kerjasama dengan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Johor itu disertai seramai 40 pemain industri di bawah naungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Johor Bahru (JBCCI).
Johor adalah negeri kedua program itu selepas Sabah pada awal tahun ini dan seterusnya di Pulau Pinang pada 29 Sept, 2020.
Mengulas selanjutnya, Hasan Azhari berkata SBH merangkumi tiga komponen utama iaitu Program Promosi Pelaburan Invest Selangor – portal hos semua webinar dan persidangan maya anjuran Invest Selangor dan mesyuarat maya dengan rakan kongsi yang berpotensi atau para pelabur di seluruh rantau ini.
Komponen kedua adalah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor secara maya yang juga alternatif dalam talian bagi Sidang Kemuncak Tahunan Perniagaan Antarabangsa Selangor meliputi Ekspo Antarabangsa Selangor, Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor dan Bandar Pintar Selangor serta Konvensyen Ekonomi Digital.
Menurutnya, komponen ketiga adalah Hab Maya Majlis Teknologi Maklumat dan e-dagang Selangor (SITEC) iaitu hab maklumat dan webinar program majlis itu bagi mengembangkan capaiannya merangkumi khalayak antarabangsa.
“Selain itu pada program perkongsian ini, Invest Selangor memaklumkan peserta mengenai inisiatif pembangunan industri halal di Selangor seperti membantu usahawan menuju ke arah Pensijilan Halal Malaysia termasuk menerusi kelas bimbingan.
“Kita juga berkongsi usaha meningkatkan ekosistem
keusahawanan seperti mendapatkan bantuan dana dan membantu mereka beralih kepada sistem digital khususnya memulakan perniagaan menerusi platform e-dagang Lazada dan Shopee,” katanya.
Malah, ini termasuk kejayaan kempen Selangor e-Bazaar Raya bersama Shopee pada Mei-Jun lepas yang membantu kira-kira 6,400 usahawan baharu menyertai Shopee.
Hasan Azhari juga menyifatkan Selangor mempunyai tarikan sebagai destinasi perniagaan di negara ini didorong oleh faktor seperti mencatat pertumbuhan 6.7 peratus tahun lepas, dilengkapi infrastruktur seperti pelabuhan dan lapangan terbang serta modal insan dan sumber tenaga mahir.
Ini turut membantu merealisasikan visi Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025, katanya.
“Negeri ini turut melahirkan kira-kira 66,000 graduan setahun menerusi lebih 160 institusi pengajian tinggi awam, swasta, kolej serta pusat latihan industri. Secara umumnya, Selangor mempunyai ekosistem industri yang lebih baik berbanding negeri lain “Pada program kali ini misalnya, peserta yang hadir agak kagum dengan perkongsian berhubung landskap pelaburan kita, inisiatif dan peluang yang ada serta bagaimana mengukuhkan rangkaian perniagaan,” katanya. – Bernama