Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Permohonan projek UNIFOR perlu dikemuka sebelum akhir Februari
  • TEMPATAN

Permohonan projek UNIFOR perlu dikemuka sebelum akhir Februari

Utusan Sarawak 6 hours ago
TIMBALAN Premier Sarawak yang juga Menteri bertanggungjawab bagi UNIFOR, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain (UNIFOR) 2025 Fasa 4, di Wisma Bapa Malaysia, hari ini. Foto UKAS 

PETRA JAYA: Semua permohonan projek di bawah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) perlu dikemukakan selewat-lewatnya sebelum akhir Februari bagi memastikan pelaksanaan projek dapat berjalan mengikut perancangan dan tidak tertangguh.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri bertanggungjawab terhadap UNIFOR, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kelewatan menghantar permohonan akan memberi kesan langsung kepada keseluruhan proses, termasuk penilaian, kelulusan serta penyaluran peruntukan.

Menurut beliau, pengalaman tahun lalu menunjukkan beberapa projek berdepan masalah pelaksanaan disebabkan permohonan diterima lewat.

“Sehubungan itu, kita meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pihak pengurusan rumah ibadat agar mengemukakan permohonan lebih awal, selewat-lewatnya hujung Februari. Langkah ini penting supaya proses dapat dipercepatkan dan isu yang sama tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain (UNIFOR) 2025 Fasa 4, di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

UGGAH (tengah, duduk) bersama wakil penerima cek bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain (UNIFOR) 2025 Fasa 4. Foto UKAS 

Uggah turut memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak menyasarkan penyaluran peruntukan seawal Jun, namun sasaran tersebut hanya dapat dicapai sekiranya semua permohonan diterima dalam tempoh yang ditetapkan.

Mengulas perkembangan projek UNIFOR tahun lalu, beliau berkata daripada 309 projek yang telah diluluskan, sebanyak 285 projek masih dalam fasa pelaksanaan dan belum mengemukakan laporan kemajuan.

Jelasnya, situasi itu berkemungkinan berlaku kerana sebahagian penerima hanya menerima peruntukan pada peringkat akhir tahun. Namun begitu, pemantauan terhadap projek tetap dilaksanakan secara berterusan oleh pasukan UNIFOR.

“Pasukan kami sangat aktif turun ke lapangan dan berinteraksi secara langsung dengan penerima bantuan.

“Namun, laporan kemajuan projek adalah satu keperluan. Sekiranya laporan tidak dikemukakan atau dana tidak digunakan mengikut perancangan yang diluluskan, permohonan baharu tidak akan dipertimbangkan,” tegasnya.

Untuk rekod, UNIFOR sebelum ini telah memperuntukkan RM90 juta bagi projek rumah ibadat agama-agama lain serta RM30 juta untuk sekolah misi, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memelihara keharmonian antara agama di negeri ini.

Oleh Adele Rissa

Continue Reading

Previous: Kerajaan Sarawak pertimbang penubuhan rumah kelab khas warga media
Next: Sarawak berhak ke atas sumber minyak, gas berasaskan OMO 1958

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.