Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kuching tuan rumah Perhimpunan Gastronomi UNESCO
  • TEMPATAN

Kuching tuan rumah Perhimpunan Gastronomi UNESCO

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap ketika sidang media Perhimpunan Tahunan Rangkaian Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO 2026 di Kuching, hari ini.

KUCHING: Kuching dipilih sebagai tuan rumah Perhimpunan Tahunan Ketiga Rangkaian Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi gastronomi dan pelancongan budaya bertaraf antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pemilihan tersebut merupakan pengiktirafan signifikan terhadap kredibiliti Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO sejak diiktiraf pada 2021.

Menurut beliau, perhimpunan yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos itu akan menghimpunkan kira-kira 170 delegasi antarabangsa daripada 63 Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO di 35 negara, selain penyertaan peserta tempatan dan serantau.

“Walaupun Kuching masih dianggap bandar gastronomi yang relatif muda di peringkat global, kejayaan menjadi tuan rumah perhimpunan ini membuktikan keupayaan Sarawak dalam menganjurkan acara antarabangsa berprestij,” katanya.

SIDANG media Perhimpunan Tahunan Rangkaian Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO 2026 di Kuching, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perhimpunan Tahunan Rangkaian Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO 2026 di Kuching di sini, hari ini.

Beliau mengulas lanjut, antara keperluan utama yang ditetapkan UNESCO ialah pembinaan Pusat Gastronomi Kuching, yang kini dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini, sekali gus bakal menjadi mercu tanda baharu bandar raya tersebut.

“Keunikan Sarawak yang memiliki 34 etnik berbeza, menjadikan negeri ini sebuah ‘periuk lebur’ budaya, tradisi dan warisan kulinari, di samping mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Perhimpunan ini akan menjadi platform penting bagi pertukaran idea, pengukuhan kerjasama antara bandar serta perbincangan mengenai pembangunan sistem makanan lestari, inovasi kreatif dan pemeliharaan warisan selari dengan visi UNESCO,” jelasnya.

Antara pengisian utama perhimpunan termasuk majlis perasmian yang dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, sesi mesyuarat rasmi bandar-bandar ahli, jamuan makan malam amal Hidangan Demi Tujuan yang menggabungkan kolaborasi cef antarabangsa dan cef tempatan, serta Pavilion UCCN yang menampilkan masakan dari 20 Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO.

Perhimpunan itu turut bertepatan dengan penganjuran Festival Makanan dan Kebudayaan Kuching oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), yang dijangka menarik lebih sejuta pengunjung dan memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan serta industri makanan tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Karim turut mengalu-alukan kehadiran Ketua Penyelidikan dan Pemeliharaan Aset Kulinari Suruhanjaya Seni Kulinari Arab Saudi, Majed AlMuhanna, bersama delegasinya, sambil menyatakan hasrat Sarawak untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang gastronomi dan industri kreatif.

Oleh Masrin Affirah

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Banjir di Samarahan pulih, PPS ditutup
Next: Kerajaan Sarawak pertimbang penubuhan rumah kelab khas warga media

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.