
SIBU: Kolam Renang Bukit Lima yang dinaik taraf dengan kemudahan berbumbung atau Kawasan Pembelajaran Luar Terlindung (COLA) dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan akuatik serta kemudahan komuniti utama di Zon Tengah Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Khairul Nizam Morshidi berkata, pembinaan tersebut bertujuan memastikan kolam renang itu dapat digunakan sepanjang tahun tanpa bergantung kepada keadaan cuaca.
“Objektif utama projek ini adalah untuk menyediakan pusat latihan renang dan terjun bagi Zon Tengah Sarawak, di samping memberi kemudahan yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan Kolam Renang Bukit Lima daripada SSC kepada Majlis Perbandaran Sibu (MPS), di sini, hari ini.
Khairul Nizam berkata, penyerahan pengurusan kepada MPS merupakan langkah strategik bagi memastikan kemudahan itu diurus serta disenggara secara berkesan untuk kegunaan jangka panjang.
“Pengurusan yang baik amat penting bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna. Dengan penglibatan MPS, kolam ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh atlet negeri dan masyarakat setempat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MPS, Clarence Ting berkata projek berkenaan bermula pada 15 November 2023 dan sepatutnya siap pada Mei 2024, namun beberapa isu pelaksanaan menyebabkan ia belum dapat dibuka kepada orang awam.
Katanya, buat sementara waktu, kolam renang itu hanya digunakan oleh Persatuan Renang Amatur Sarawak (SASA) bagi sesi latihan harian.
Tambah beliau, MPS akan melaksanakan kerja penyelenggaraan tambahan termasuk penggantian jubin kolam kanak-kanak, naik taraf bilik persalinan dan tandas serta penambahbaikan lain sebelum dibuka sepenuhnya kepada orang ramai.
“MPS komited memastikan Kolam Renang Bukit Lima berada dalam keadaan terbaik dan sedia digunakan dalam masa terdekat bagi menyokong gaya hidup sihat serta pembangunan sukan di peringkat akar umbi,” katanya.
Oleh Tarani Lanting