KUANTAN: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berpandangan masalah birokrasi perlu dikurangkan supaya negara tidak kehilangan bakat muda yang berpotensi menyerlah dalam pelbagai bidang di peringkat antarabangsa.
Saifuddin berkata, berdasarkan pengalaman lalu terdapat beberapa bakat muda dengan idea yang lebih segar ‘beralih’ ke negara lain bagi membangunkan produk mereka, menyebabkan negara lain yang mendapat nama sedangkan idea datang daripada rakyat Malaysia.
Beliau merujuk kisah Pua Khein-Seng dari Selangor yang merupakan individu yang membawa kepada ciptaan pemacu pena (pendrive), namun kesukaran mencari dana menyebabkan pereka inovasi itu mencari dana di negara lain.
“Ini adalah satu perkara yang merugikan berpunca daripada masalah birokrasi. Perkembangan teknologi dan bidang kreativiti adalah selari sehingga melahirkan pelbagai bidang kreatif yang baharu seperti dalam permainan video, animasi dan juga kewujudan YouTube sebagai platform baharu.
“Kita perlu mengurangkan kerenah birokrasi jika mahu menggalakkan anak muda Malaysia berkarya dan menyerlahkan bakat mereka sepenuhnya kerana bidang-bidang ini, yang tidak wujud 10, 20 tahun dahulu, kini boleh menjadi kerjaya yang membawa pulangan,” katanya selepas merasmikan Bengkel Latihan YouTube Zon Pantai Timur di sini semalam.
Program dua hari anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu turut dihadiri Pengerusinya Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Pada masa sama, Saifuddin berkata perkara itu juga harus berada dalam lingkungan batas undang-undang dan kesopanan agar karya atau produk yang dihasilkan tidak menimbulkan kesan negatif seperti tindakan ‘prank’ (usikan) sehingga menimbulkan kegusaran pihak lain.
“Memang kreativiti tiada batas tetapi apabila hendak berkarya tentunya kita mahu melihat produk itu mempunyai mesej yang baik. Ini termasuk penghasilan filem dan drama yang mana antara punca idea skrip datang daripada novel … jadi perlu dipastikan novel tersebut adalah baik bagi menjaga kualiti karya,” katanya.
Saifuddin juga manasihati ibu bapa untuk lebih memahami minat anak dalam bidang kreatif yang mungkin asing bagi mereka kerana bidang kreatif sudah berkembang maju dan tidak lagi tertumpu kepada bintang filem atau penyanyi.
Sementara itu, Ahmad Idham berkata antara langkah yang dibuat Finas bagi mengurangkan kerenah birokrasi ialah menyalurkan dana kepada stesen televisyen yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. – Bernama