KOTA KINABALU: Tempoh dua jam terakhir sebelum pusat pengundian ditutup pada 5.00 petang menyaksikan pengundi Sabah terus komited menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan negeri baharu.
Komitmen ini dapat dilihat melalui peratusan keluar mengundi yang terus meningkat dari semasa ke semasa sejak proses pengundian bermula pada 7.30 pagi.
Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan 54 peratus pengundi telah mencalit dakwat hitam di jari mereka setakat 2.00 petang.
Pelbagai gelagat dan telatah pengundi dapat dilihat sepanjang proses pengundian.
Ini termasuk telatah seorang pengundi di SMK Tansau, kira-kira 13 kilometer dari sini yang mengenakan kostum adiwira ‘Power Rangers’ berwarna putih dilengkapi pedang mainan, menurut hantaran di Facebook Jabatan Penerangan Sabah.
Ada juga pengundi memakai mahkota dan pakaian tradisional suku kaum di Negeri di Bawah Bayu itu manakala satu lagi gambar yang tular memaparkan pengundi hadir dengan menaiki beca motosikal di Sekolah Kebangsaan (SK) Nongkolud, Tuaran.
Calon Warisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob, yang juga Ketua Penerangan parti itu, memilih untuk memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) ketika mengundi di Sipitang.
Memandangkan pusat pengundian telah dibuka sejak 7.30 pagi, para petugas Kementerian Kesihatan yang memakai PPE sentiasa membersihkan kotak pengundian untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pengundi selain mengekang penularan pandemik Covid-19.
Ketika rakyat Sabah sibuk memilih kerajaan baharu pada PRN Ke-16, media dikejutkan dengan pengumuman satu lagi kes positif Covid-19 membabitkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Pitas iaitu Sufian Abd Karim.
Menerusinya hantaran di Facebooknya, Sufian mengesahkan bahawa beliau positif Covid-19 dan meminta individu yang pernah bersama-sama dengannya baru-baru ini mengambil langkah berjaga-jaga selain memohon maaf kepada para pengundi, petugas, jentera, rakan serta keluarga yang banyak membantu ketika kempen.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali pula memaklumkan pihaknya telah mengusir lebih 100 individu disyaki memiliki dua kerakyatan yang dipercayai cuba balik dari negara jiran untuk mengundi melalui jalan tidak sah di perairan negara.
Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi DUN dan proses pengundian yang melibatkan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat. – Bernama