
SARATOK: Projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) bernilai RM500,000 di kawasan Kali Kaba, DUN Kalaka, telah siap sepenuhnya, sekali gus memperkukuh akses dan kemudahan infrastruktur untuk komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata projek tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan perhubungan antara rumah penduduk dan kawasan utama, sekali gus memudahkan urusan harian serta aktiviti ekonomi penduduk desa.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke tapak rumah baharu dan Jalan Perhubungan Desa (JPD) ke tapak baharu Rumah Christopher bersama Tuai Rumah Siti Blanda, Tuai Rumah Christopher dan Tuai Rumah Joshua, di sini semalam.
“Selain lawatan ke tapak rumah baharu yang dibantu oleh Pusat Khidmat ADUN Kalaka, saya turut berkesempatan meninjau Projek Jalan Perhubungan Desa yang sudah siap sepenuhnya,” kata Mohamad Duri.

Projek JPD tersebut dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan sasaran memperkukuh kemudahan asas untuk masyarakat di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Mohamad Duri menzahirkan rasa syukur kerana beberapa projek pembangunan yang dilaksanakan kini sudah siap, dan ia diharap dapat memenuhi keperluan komuniti serta meningkatkan kualiti hidup penduduk di Kali Kaba.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara pihak kerajaan, pemimpin tempatan dan komuniti bagi memastikan setiap projek pembangunan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
Projek jalan ini bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk tetapi juga membuka peluang kepada aktiviti sosial dan ekonomi di kawasan pedalaman, sekali gus memperkukuh pembangunan mampan di DUN Kalaka.
Oleh Adi Safarman