

SEBUYAU: Jambatan Batang Lupar No.1 dijangka dibuka kepada orang awam sebelum sambutan Perayaan Gawai tahun ini selepas pembinaannya mencapai tahap kemajuan 94.6 peratus, selari dengan jadual yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo, berkata projek infrastruktur bernilai RM848.75 juta itu kini berada pada fasa akhir pelaksanaan dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 15 Mei 2026.
Menurut beliau, projek berkenaan berjalan lancar walaupun berdepan isu teknikal di Pier 52 sebelum ini, namun masalah tersebut berjaya diatasi sekali gus memastikan kemajuan pembinaan kekal mengikut perancangan.
“Ia akan siap pada Mei. Maknanya sebelum perayaan Gawai, jambatan ini akan dibuka kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui semasa lawatan terakhir serta gimik simbolik ‘Sentuhan Terakhir’ di tapak projek di Kampung Beliong, di sini, hari ini.
Datuk Ir Aidel berkata, pembinaan Jambatan Batang Lupar No.1 merupakan antara projek infrastruktur utama di Sarawak yang dijangka memberi impak besar dalam memperkukuh jaringan perhubungan, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memudahkan pergerakan rakyat, khususnya penduduk di kawasan Sebuyau dan sekitarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak sembilan lagi jambatan dijangka siap pada tahun ini, sekali gus membantu mengurangkan tempoh perjalanan antara satu bahagian ke bahagian lain yang sebelum ini mengambil masa yang lebih lama.
“Jaringan jalan raya di kawasan tengah dan pedalaman negeri ini akan lengkap sepenuhnya dengan siapnya jambatan-jambatan tersebut, disokong oleh Lebuh Raya Pan Borneo, laluan jalan pesisir pantai serta Lebuh Raya Utama Kedua.
“Kesemua rangkaian jalan ini saling melengkapi antara satu sama lain dengan kewujudan jalan-jalan baharu termasuk jalan penghubung yang menghubungkan Lebuh Raya Pan Borneo dan jalan pesisir pantai, sekali gus melengkapkan sistem jaringan jalan raya di kawasan ini.
“Keadaan ini seterusnya memudahkan kehidupan penduduk yang menetap di kawasan pesisir pantai,” jelas beliau.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Cassidy Morris, Timbalan Pengarah JKR Sarawak, Ir. Wisil Lichok serta Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.