Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pembinaan semula Rumah Bidayuh Kampung Budaya tunggu kelulusan Kabinet
  • Selatan
  • WILAYAH

Pembinaan semula Rumah Bidayuh Kampung Budaya tunggu kelulusan Kabinet

Utusan Sarawak 7 hours ago
KEADAAN rumah tradisional etnik Bidayuh di Kampung Budaya Sarawak, yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran tahun lalu. Foto: Kampung Budaya Sarawak 

KUCHING: Proses pembinaan semula rumah tradisional etnik Bidayuh di Kampung Budaya Sarawak, yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran tahun lalu, kini memasuki fasa akhir dokumentasi dan menunggu kelulusan kerajaan bagi tujuan peruntukan dana, dengan keseluruhan proses setakat ini berjalan lancar.

Pengarah Penjualan, Pemasaran dan Acara Kampung Budaya Sarawak, Zaini Zainuddin berkata, semua proses dokumentasi berkaitan projek pembinaan semula rumah berkenaan telah diselesaikan dan kini menunggu Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan untuk membawa perkara tersebut ke peringkat Kabinet.

Menurut beliau, kelulusan itu penting bagi membolehkan peruntukan kewangan diluluskan sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan.

“Buat masa ini, semua dokumentasi telah lengkap dan proses setakat ini berjalan lancar. Sekarang kita menunggu pihak kementerian untuk membawa perkara ini ke Kabinet bagi tujuan kelulusan dana dan langkah seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.

Mengulas mengenai konsep pembinaan semula, Zaini berkata pihak pengurusan berhasrat mengekalkan reka bentuk asal rumah Bidayuh yang musnah sebelum ini bagi memastikan elemen warisan dan identiti budaya etnik tersebut terus dipelihara.

Namun jelasnya, projek itu bukan sekadar melibatkan pembinaan semula semata-mata, sebaliknya turut merangkumi beberapa penambahbaikan dari segi kemudahan.

“Reka bentuk asal akan dikekalkan supaya nilai warisan masih terpelihara, tetapi dalam masa sama akan ada sedikit penaiktarafan, termasuk penambahbaikan laluan pejalan kaki dan kemudahan sokongan lain bagi keselesaan pengunjung,” katanya.

Untuk rekod, kebakaran yang berlaku pada 12 Oktober 2025 itu telah memusnahkan sepenuhnya struktur rumah Bidayuh berkeluasan 1,130 meter persegi, namun tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke struktur berdekatan termasuk pentas utama Kampung Budaya Sarawak.

Susulan kejadian itu, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah telah mengadakan lawatan ke tapak kejadian pada 18 Oktober 2025 dan memberi jaminan sokongan penuh kementeriannya bagi membantu mempercepatkan proses pembinaan semula, termasuk mendapatkan kelulusan Kabinet serta peruntukan kewangan yang diperlukan.

Beliau sebelum ini menyifatkan rumah panjang Bidayuh bukan sekadar sebuah struktur fizikal, sebaliknya simbol penting warisan etnik Bidayuh serta aset pelancongan utama Sarawak, selain menjelaskan bahawa proses pembinaan semula berkemungkinan mengambil masa lebih setahun berikutan keperluan mengekalkan keaslian seni bina tradisional.

Kejadian kebakaran tersebut tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan punca kejadian masih belum disahkan sehingga kini.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Dato Wee: Kuil Jiuhuang bantu satukan komuniti Sungai Apong
Next: Jambatan Batang Lupar No.1 siap 94.6 peratus, dijangka dibuka sebelum Gawai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.