
PETRA JAYA: Isu atlet Sarawak yang mewakili negeri lain serta atlet dari luar negeri yang beraksi untuk Sarawak menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) akan ditangani secara adil dan berhemah tanpa menjejaskan kebajikan serta masa depan atlet, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, situasi berkenaan merupakan perkara biasa setiap kali temasya SUKMA menghampiri, khususnya melibatkan atlet yang telah dibangunkan oleh satu negeri tetapi kemudiannya beraksi atau bermastautin di negeri lain.
“Perkara seperti ini memang akan berlaku. Ada atlet Sarawak yang mewakili negeri lain dan ada juga atlet dari negeri lain yang mewakili Sarawak. Kita tidak boleh melihat perkara ini secara sempit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Kalendar Kejohanan Tenis Sarawak 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pertimbangan utama dalam menentukan perwakilan atlet ialah pihak yang telah mengenal pasti, membangunkan serta memberi pendedahan kepada atlet berkenaan sejak awal.
“Siapa yang membangunkan atlet itu akan diambil kira. Jika atlet itu dibangunkan oleh Sarawak, maka Sarawak berhak. Jika dibangunkan oleh negeri lain, kita juga perlu menghormati perkara itu,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa Sarawak tidak akan menyekat atau menafikan peluang atlet untuk bertanding hanya disebabkan isu perwakilan negeri, sebaliknya memastikan keputusan dibuat secara adil dan mengambil kira perkembangan karier atlet.
“Kita tidak akan memangsakan atlet atau mematikan karier mereka hanya kerana isu ini. Kebajikan dan masa depan atlet mesti diutamakan,” katanya.
Abdul Karim berkata, terdapat juga kes atlet yang ibu bapanya berasal dari Sarawak tetapi menetap dan menjalani latihan di negeri lain, serta kes atlet dari luar negeri yang ingin mewakili Sarawak atas faktor hubungan keluarga dan pembangunan awal di negeri ini.
Katanya, semua isu berkenaan akan dibincangkan secara profesional antara persatuan sukan, pihak berkaitan dan penganjur SUKMA sebelum keputusan muktamad dibuat, selaras dengan semangat kesukanan dan pembangunan atlet jangka panjang.
Oleh Shahrul Qaizat